Wednesday 27 March 2013

Adab Berguru..

Assalamualaikum..
Hari ni tergerak hati nak berkongsi tentang adab-adab berguru yang dianjurkan dalam Islam.. Semoga bermanfaat..


"Bersabarlah kamu dalam perjalanan jauh demi menemui gurumu, sesungguhnya lautan ilmu itu diperolehi menerusi perjalanan kamu menemuinya. Sesiapa yang tidak merasa kepahitan menuntut ilmu walau sedetik, ia pasti akan menelan kehinaan kejahilan sepanjang hayatnya."

Daripada kalimat-kalimat mutiara yang disuarakan oleh ulama' tersohor dunia iaitu Imam al-Syafie ini adalah, pertama sekali adab yang perlu dititikberatkan oleh setiap individu yang ingin menuntut ilmu adalah keteguhan hati dan kesabaran yang tidak berbelah bagi. Kerana dalam proses menimba lautan ilmu yang tidak bertepi itu bukan kepalang susahnya. Susah mencari guru itu satu, susah menyesuaikan diri dengan garis peraturan yang ditentukan oleh mua'lim itu juga satu hal yang menduga hati, namun jika kesabaran dan disiplin yang dipertaruhkan itu dipandang enteng, maka sampai bila-bila pun berkat dalam menuntut ilmu itu tidak akan diperolehi..

"Kelebihan orang yang berilmu berbanding abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang."(Sunan Abu Daud dan at-Tirmizi)

Rasulullah s.a.w sendiri mengangkat darjat seorang mu'alim atau guru ini di satu tahap yang tidak kurang tingginya lantaran jasanya yang bertindak menyebarkan ilmu pengetahuan dan memberi pendidikan supaya kita hidup di atas muka bumi ini sebagai seorang yang berbakti melalui ilmu yang disampaikan.

Bayangkanlah betapa besarnya jasa guru membimbing hidup manusia seluruhnya dengan ilmu yang diajarnya. Hidup tanpa ilmu sama lah seperti hidup dalam kegelapan. Guru ibarat nur ilmu menerangi hidup manusia. Umpama lilin yang membakar diri dan menerangi kegelapan. Sebab itulah guru jatuh sebagai golongan yang paling wajib kita hormati selepas ibu bapa kita..

Selain bertindak memuliakan para guru, kita sebagai pelajar juga wajib menunaikan hak-hak guru. Apakah hak-hak guru yang wajib kita laksanakan?

1) Merendah diri terhadap guru.
-Walau sehebat manapun latar belakang peribadi kita, tingginya taraf kita dalam kalangan masyarakat, sebesar manapun pengaruh yang kita atau keluarga kita miliki, guru tetap guru. Kerana kita yang mencari mereka untuk mengambil cebisan ilmu yang Allah takdirkan untuk mereka pelihara sepanjang hayat mereka. Jadi adalah menjadi satu tanggungjawab kepada kita untuk sentiasa merendahkan diri di hadapan mereka. Contohnya, memberikan salam atau ucapan selamat apabila bertemu, bertutur dalam nada suara yang rendah dan sopan, serta mendahulukan mereka dalam hal-hal seperti tidak duduk sebelum guru duduk di dalam kelas terlebih dahulu dan sebaik-baiknya pergi bertemu guru untuk belajar, dan bukannya menanti guru yang datang ke baitul (tempat) kita untuk "mempersembahkan" ilmunya kepada kita.


Dalam satu tulisan ada mengatakan bahawa adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah mereka sentiasa terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan  guru dalam setiap urusan mereka. Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah s.w.t

2) Memandang guru dengan hormat dan meyakini bahawa keperibadian mereka lebih unggul berbanding kita.
Sesungguhnya guru itu menjadi role model yang terbaik bagi anak-anak murindnya. Guru yang memiliki keperibadian yang mahmudah akan sentiasa menjadi ikutan bagi pelajarnya sebagai qudwah yang unggul. Justeru, bagi pelajar, selagi mana guru itu sentiasa dalam keadaan mentaati suruhan Allah dan Rasul-Nya, tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan hubungan manusia dengan manusia dan juga hubungan manusi dengan Tuhan, maka wajib bagi pelajar untuk sentiasa menghormati guru-guru tersebut kerana sudah pasti pembentukan akhlak manusia itu didorong oleh contoh terbaik yang diikutinya.

Melihat pada trend hari ini, pelajar cenderung untuk mencari keburukan guru yang mengajarnya terlebih dahulu berbanding kebaikan ilmu yang ingin disampaikannya. Bukan hak kita sebagai pelajar waima sebagai sesama manusia sekalipun untuk menjatuhkan hukum dan menilai baik buruk, dosa pahala mereka yang juga manusia biasa yang sudah pasti banyak juga kelemahannya. 

Selagi mampu, hormatilah guru kita seadanya.. Berusahalah mencapai kemampuan itu. Jangan sesekali mencerca dan menghina guru walaupun mereka tidak menjalankan tanggungjawab mendidik kita dengan sempurna. Kepincangan yang mereka lakukan itu menjadi urusan mereka dengan Allah swt, jangan mengumpat guru kerana seburuk manapun mereka, barakah terhadap ilmunya itu tetap ada. 

3) Panggillah guru dengan gelaran mulia sebagai tanda kita menghormati mereka.
Saidina Ali pernah berkata, "Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.

Jika di sekolah, kita memanggil murabbi kita mengikut subjek yang diajarnya.. Contoh kalau subjek yang biasa-biasa tu kita akan panggil "cikgu", kalau yang diajar tu subjek agama Islam, maka kita akan memanggilnya dengan gelaran "ustaz" atau "ustazah", kalau bahasa Inggeris, kita akan panggil mereka "sir" atau "teacher". Ada sesetangah institusi pelajarnya memanggil guru mereka dengan gelaran murabbi, mu'allim, tuan syeikh dan sebagainya.. Masuk ke alam universiti, di hadapan pensyarah, walaupun gaya mereka berbeza, namun taraf mereka sama seperti guru kita, kerana merekalah yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu pengetahuan kepada kita. 

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu."(An-Nisa' :59)


Ulama' terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan"awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.


Jadi panggillah dengan gelaran yang baik dan tidak merendah-rendahkannya. Kalau yang mengajar itu pensyarah biasa, gelaran untuknya adalah "puan" atau "encik", kalau level pendidikannya lebih tinggi, kita boleh panggil dengan gelaran dr. atau prof. Dari situ menunjukkan bahawa kita bukan sahaja mengiktiraf mereka sebagai pendidik kita, tetapi sebagai pelajar, kita juga telah mengiktiraf diri kita sendiri sebagai anak didik mereka.

4) Mengiktiraf hak guru terhadap diri kita.
Maksudnya, setiapa amanah yang diberikan guru seperti tugasan, kerja rumah, kehadiran di kelas wajib dilaksanakan selagi mana ianya tidak bertentangan dengan hukum syarak. Jika guru/pensyarah kita menugaskan kepada kita untuk menyiapkan kerja yang diberikan, menjadi kewajipan kita untuk melaksanakannya, kerana amanah itu bukan untuk kebaikan guru itu sendiri bahkan untuk manfaat kita di masa-masa akan datang. Maknanya, jika guru memberikan tugasan kepada kita, wajib kita laksanakannya dengan sebaik mungkin dan mengikut masa yang ditetapkan, takut-takut jika kita tidak menyempurnakan tugasan itu, jatuh berdosa kerana tidak melaksanakan amanah yang diberikan ibarat kita tidak mengiktiraf hak mereka sebagai guru kita dan secara tidak langsung kita enggan menghormati mereka.

Para ulama' terdahulu, apabila mereka berhajat untuk bertanyakan sesuatu kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Pernah dalam satu kisah di mana seorang ulama' iaitu Ibnu Abbas r.a bahawasanya beliau  pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu sahabat itu berkata kepadanya: "Dia sedang tidur." Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu lalu dikatakan kepada beliau: "Tidak perlukah kita mengejutkannya?" Ibnu 'Abbas pun menjawab: Jangan.


Begitulah betapa besarnya penghormatan yang ditunjukkan oleh para ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. 


Sabda Rasulullah s.a.w.

" Tidak termasuk umatku, orang yang tidak menghormati orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)

5) Mendoakan kebaikan untuk guru.

Hubungan pelajar dengan gurunya tidak berhenti setakat di dunia. Ianya akan membawa sampai ke akhirat. Kita akan ditanya tentang setiap amalan termasuklah akhlak dan tanggungjawab kita terhadap guru. Begitu juga dengan guru. Seperti yang telah saya sebutkan awal tadi, guru juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Selagi kita hidup di dunia ini, janganlah lupa mendoakan kesejahteraan mereka dunia akhirat selepas mendoakan ibu bapa kita.

Sekali dia mendidik kita, maka selamanya dia adalah guru kita. Walaupun sudah berpuluh tahun tidak bertemu, sudah berpuluh tahun terputus hubungan, namun selagi kita hidup dengan mengingati segala ilmu yang diajarnya, maka selagi itulah hubungan itu tidak pernah berakhir. Tidak luak masa kita jika sedekahkan doa pada mereka setiap hari sama ada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia, malah para malaikat akan mengaminkan doa tersebut dan mendoakan juga supaya diberi keberkatan kepada kita. Pelaburan yang baik kan, yang penting ikhlas..


“Ya Allah, ampunkanlah segala dosa guru-guru aku sekiranya adakalanya mereka telah mengabaikanMu. Tetapi, kau syafaatkanlah mereka di akhirat dengan syurga, atas jasa dan budi mereka mendidik aku sehingga aku menjadi insan yang berjaya"


Setakat ini dulu perkongsiannya.. Siapa pun kita hari ini, jangan pernah lupakan budi mereka yang bagaikan lilin, membakar diri menerangi hidup kita untuk meraih cahaya yang lebih terang..  In shaa Allah.. Kepada rakan-rakan yang bakal bergelar guru, selamat berjaya, ingatlah di tanganmu tertanggung segunung anamah, mendidik anak bangsa, membentuk umat Muhammad yang bertaqwa.. Teruskanlah perjuangan ini sehingga akhir hayatmu.. Dan buat guru-guru yang telah banyak berjasa.. Diri ini bukanlah sesiapa andai tiada bimbingan dan kesabaranmu menyampaikan ilmu pinjaman Tuhan.. Semoga dilimpahi rahmat kasih sayang Ilahi dunia akhirat.. :) Maassalam..












Best Quotes of The Day..
"Jika hari ini kau punya seluruh dunia, tanpa jasa dia gurumu, kau bukan sesiapa.."


1 comment:

  1. Great sharing! Thank you to all our teachers & mentors. May Allah bless them always! :)

    ReplyDelete