Thursday 25 September 2014

Kuliah Akhir Semester: It Gets Back To Normal.

Assalamualaikum.

Ingat lagi entri pasal masalah pendaftaran kursus tu?


Alhamdulillah semuanya dah selesai. Nasib ada lecturer yang prihatin dan staf jabatan yang tak banyak kerenah dan serius membantu mencari solusi masalah ni. Mungkin staf jabatan pun dah give in tengok muka saya setiap hari dari isnin sampai khamis tu asyik naik pejabat je tanya pasal pendaftaran. And I discovered one thing about myself during those hectic day. I am quite a pushy person when I put everything to get what I eagerly want. selagi tak dapat selagi tu ada jelah idea nak dapatkan juga.

Sebenarnya semua ni atas budi bicara pensyarah juga. Kalau pensyarah tu jenis yang tahu bertolak ansur oklah, macam Prof Joseph, sungguh-sungguh nak bantu sebab dia faham perasaan student final sem ni. Takkanlah hanya sebab satu subjek je yang tinggal dan hanya kerana sistem birokrasi entah apa-apa, saya nak kena extend satu sem lagi semata-mata nak penuhi 3 jam kredit lagi? lagipun, kalau extend, bukan 3 jam kredit je kena ambil. Wajib satu sem sekurang-kurangnya 9 jam kredit kena ambil. Dan lagi, ianya bukan percuma sayang.. satu jam kredit bayarannya RM 50. darablah dengan 9.. kalau saya ni anak orang kaya, duit boleh dicetak guna mesin fotostat, bila-bila pun boleh..

inilah kerisauan yang membelenggu kepala sejak dua minggu ni. Alhamdulillah semuanya dah diselesaikan dengan adanya kerjasama mereka yang baik hati dan sudah tentu, bantuan dari Allah. sebab itu, walau serumit apapun masalah yang terpaksa dihadapi, sentiasa bulatkan tekad dan berusaha mencari jalan penyelesaiannya. Jangan putus asa. One failure is another door open to a success. Satu selesai, ada lagi entah berapa ribu.. positif selalu, jangan jatuh!

Wassalam..

Wednesday 17 September 2014

Apabila Kau Mahu Berubah.

Assalamualaikum..

Aku bukanlah pakar agama, bukan juga ahlinya, tetapi aku mahu berbicara soal ini dari hati ke hati.. dari hematku atas nama seorang hamba, seorang yang masih bergelut dalam mencari siapa aku, di tengah-tengah dunia yang entahkan bila akan habis waktunya.

Seperti mana aku, mungkin kalian juga sedang berdepan dengan situasi yang sama. Di depan jalan-jalan hidupmu sarat pilihan, seiring dengan kedewasaanmu engkau akan semakin terbuka akal fikiran, memilih jalan hidup yang kau mahu di hujungnya akan bisa membahagiakan. Ketahuilah setiap pilihan yang kau ambil itu akan ada natijahnya, akan terselit dugaan dan pancarobanya, juga terlalu banyak hikmah yang akan kau pelajari, terpulang daripada dimensi seperti apa yang kau mahu cernakan ia dalam benak jiwamu sendiri.

Di saat engkau memilih untuk berubah, daripada seorang yang kosong hala tuju, kau mahu matlamat yang jelas akan haluan hidup dan matimu, maka di saat itu juga satu per satu hakikat dunia akan tersingkap di depan mata, lalu menerjah nurani dan minda. pada saat itu kau akan mengenali siapa dirimu, siapa sahabat dan musuhmu, kau akan tahu jelas siapa yang selama ini mendukung dan siapa yang selama ini hanya menabur janji palsu, untuk terus kekal bersamamu mengharungi onak liku.

Mungkin saja kau akan hilang teman akrabmu, kau malah akan dipersoalkan atas setiap pilihan dan perubahanmu. yang mana memahami akan menghormati dan setia di sisi, menerima engkau seadanya dari segala segi, dan itu boleh dikira dengan jemari, terlalu sedikit. Bagi yang tidak mengerti akan terus menghukum keji dirimu tanpa henti.

Ada yang berkata perubahanmu menuju Tuhanmu hanyalah satu propaganda untuk kau menutup cela dirimu. Malah ada juga yang menuduh engkau hipokrit dan berpura-pura baik dengan menggunakan agama dan pakaian Ismalikmu untuk memburu perhatian dan puji-pujian manusia.

Ada juga yang berkata engkau bukan pelajar agama untuk berimej seperti itu. Engkau tidak fasih al-Quran dan bahasanya untuk berpakaian seperti itu. Malah masa silammu yang dulu tak sudah-sudah dibuka dan diungkit-ungkit, sebagai hujah kau tidak layak memiliki peribadi seperti apa yang kau pamerkan hari ini. Mereka juga tidak akan melihat perubahanmu itu adalah atas proses pembelajaranmu yang masih bertatih meraih cinta Ilahi, bahkan mereka melihat bahawa bagaimana rupa engkau hari ini  adalah satu riak yang konon sempurna, lantas meletakkan prejudis, "luarannya saja Islamik, dalam hati masih jahil dan penuh kepalsuan."

Bagaimana perasaanmu, jika saban waktu kau dihidangkan dengan tohmah nista seperti ini, bukan sahaja dalam kalangan teman taulanmu, malah juga dalam kalangan anggota keluargamu? Pastinya di hatimu itu terasa seperti dilapah mentah-mentah, luka berdarah tak terkata. Terasa hidupmu kosong penuh derita. Kau merasa sendirian di setiap ceruk kakimu melangkah, dalam riuh rendah hanya sunyi sepi jadi teman bicara. Kau terkapai-kapai dalam banjir air mata, tiada yang mendengar, tiada yang mahu bertanya apakah kau baik-baik saja? kau tak apa-apakah? Dalam rapuh hatimu kau mahu ada yang mendengar keluh kesah, menemani kala hilang arah, kau mahu mengadu tetapi tiada yang endah. Terasa seperti tersungkur tetapi tiada tangan sudi menghulur, membantu kau bangkit semula. Terasa juga seperti sendirian kau ditinggalkan di tanah gersang, tak berpenghuni, gelap gelitanya dunia.

BEGITULAH AKU!
BEGITULAH HAKIKAT YANG MENIMPA DIRIKU..

Berat rasanya beban ujian yang kuterima. Kadang kubertanya sendiri, kenapa begini? Di manakah lagi silapnya? semakin aku berusaha mahu kembali dan mencari jalan pulang, semakin aku terasa jauhnya kasih sayang Tuhan terhadapku. dan pernah juga sekali sekala terlintas dalam hatiku, mungkin aku tidak sesuai menjadi baik, mungkin aku tidak layak. Mungkinkah aku hanya layak diam di takuk lama, menjadi diriku yang kabur sesat mencari arah?

Lama aku bungkam.
Lama aku diam.
Aku kaji diriku,
di mana silapnya,
di mana bengkoknya,
apa lagi yang tidak kena??

Lantas bicara sepiku menampar kalbu.
Sedarlah!!
Tuhanmu sedang mengajakmu berbicara.
Dia sedang menjawab setiap yang kau tanya.
Dia sedang memberi apa yang kau minta.
Kau minta bahagia,
Kau minta ditunjukkan jalan menuju Dia.
Sungguh apakah wujud jalan singkat ke syurga?
Siapa engkau mahu meraih kesenangan dan kemuliaan percuma?
Duhai jiwa yang mengimpikan solehah..
Sungguh di dunia ini penjara
bagi mereka yang dahagakan cinta yang Maha Esa
sungguh iktikad imanmu tiada makna
andai kau menolak untuk diuji barang seketika.

Toleh sebentar kepada intisari silam
Apakah ada kau temukan
Orang yang mahu mati gembira
hidupnya senang lenang??
Apakah ada kau temukan
Orang yang mahu mati gembira
Tiada ujian yang bertandang?

Ada.. semuanya ada..
Tiada yang mudah dalam mengejar akhirat.
Ada harga yang mesti kau bayar.
Mungkin saja sesuatu yang kau cinta selama ini terpaksa kau tinggalkan
atau ia pergi sejauh-jauhnya meninggalkan..
tetapi andai yang kau cinta itu tidak Allah redha
lalu kau tinggalkan semata-mata kerana Dia,
pasti akan ada ganti yang Allah sisipkan untukmu
yang jauh lebih baik,
dan yang jauh lebih indah.

Justeru andai kau melihat ujian bukan sebagai musibah
bukan bantaian takdir yang menerpa,
bukan juga sebagai kifarah dosa semata,
bahkan tiada lain adalah kerana kasih-sayang-Nya
percayalah segala rasa sakit itu akan hilang
sepertimana hilangnya kabus ketika matahari memancar sinarnya
seperti dingin air yang menghapus dahaga
seperti hujan yang menghalau pergi debu semesta..

Sabarlah, teguhlah..
yang kau lakukan ini sudah betul..
telah kau bulatkan tekadmu memilih Dia,
maka yang pahit hanyalah seketika
kerana begitulah sifat dunia dan segala isinya.
dan yang sebenar-benarnya manis
letaknya di syurga..

Hilangkan dukacita.
Allah ada bersama kita..







Thursday 11 September 2014

Dugaan Akhir Semester

Assalamualaikum.

In shaa Allah tahun ni mungkin semester terakhir saya di sini. Terakhir ke?? Itu masalahnya sekarang.

sem ni, jam kredit yang perlu dihabiskan ada lagi 12. Tak macam tahun-tahun yang sebelumnya, kali ni pendaftaran untuk kursus minor langsung tak ada masalah. Alhamdulillah. Cuma yang menyesakkan kepala sekarang bila kursus major jabatan pula bermasalah.

Kalau ikutkan sistem semester, kali ni subjek yang kena ambil, dua subjek bahagian A dan satu subjek bahagian B. dan disebabkan paper bahagian B saya semua dah selesai, jadinya sem ni tinggal paper bahagian A sajalah yang nak kena cover.

Dan sekarang saya cuma dapat ambil satu paper bahagian A saja, lagi satu tak dapat nak ambil sebab dah penuh. sekarang jabatan dan tetapkan peraturan baru. hanya 40 kuota saja ditetapkan untu setiap subjek, dan disebabkan ini berasaskan sistem online, jadinya memang tak dapat daftar even melalui manual. dahlah paper bahagian A tahun 3 sem ni yang ditawarkan sikit je. 5 paper. itupun nak kena berebut dengan tahun 3, masalah bila paper tahun 3 dan 4 dalam subjek yang sama, kod kepala 3, sebab itulah jadi berantakan macam ni.

pelajar-pelajar tahun 3 jabatan sejarah pun ada yang lagi kesian, satu subjek pun tak dapat daftar. kecuali untuk paper projek ilmiah, itupun sebab yang tu paper wajib jabatan untuk tahun 3.

Saya dah pun rujuk masalah ni dekat pejabat jabatan, tapi pejabat suruh tunggu sampai 21 Januari ni, kalau tak dapat barulah rujuk sekali lagi dekat pejabat, itupun bergantung pada budi bicara ketua jabatan sama ada nak consider untuk buka kuota paper untuk saya atau tidak, kalau tak, kenalah akur dengan bahasa birokrasinya, "kalau macam tu kamu terpaksalah extend sampai sem depan." Iyalah, duit lagi, hutang lagi, tempat tinggal, kos sara hidup. kena datang lagi sini sem depan semata-mata nak habiskan lagi satu subjek untuk 3 jam kredit, dah tu peraturan universiti, tak boleh ambil subjek kurang daripada 9 jam kredit.

Allahu Musta'an, harap sangat ada jalan keluar yang memudahkan untuk masalah macam ni. Birokrasi yang banyak kerenah, pelajar pula yang kena tanggung akibatnya. Oh, UMku! kalau saya ni anak orang kaya, dan duit boleh dipetik semudah memetik dedaunan di pohon, apa-apa pun boleh. tak apalah, saya fikir yang baik-baik saja. Moga ada hasilnya, dah habis ikhtiar ni.

Wassalam.

Monday 8 September 2014

Game On!

Assalamualaikum..

semakin hari semakin rumit. semakin banyak perkara yang muncul selepas selesai sesuatu perkara, dan ianya tidak semudah yang disangka.

But thats life. Faktanya, ia seperti sebuah permainan. thing is getting harder after one step ahead. kalah atau menang itu nombor 2. yang penting, dalam 'permainan' ini, kejujuran adalah kunci yang paling asas, jadi diri sendiri, ikut kemampuan, dan percaya kau mampu laluinya sehabis baik. Jangan sesekali berlaku khianat, kelak hilang rasa hormat dan kepercayaan.

ikut saja rentak yang dibentang di depan mata, tapi jangan lupa atur strategi.. biar kalah tidak apa asalkan kalahmu bermaruah, kerana kau jujur dengan diri kau sendiri, dan kau tak menyerah kalah di awal permainan.

all the best, Atikah!


Thursday 4 September 2014

Sejarah Ayat Kursi dan Hikmah Amalannya.

Assalamualaikum.

Ayat iKursi diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasullah s.a.w. dengan segera memerintahkan Zaid bt sabit menulis serta menyebarkannya.

Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, InsyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah s. w. t.

Mengikut keterangan dari kitab”Asraarul Mufidah” sesiapa mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah. Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, InsyaAllah Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta Fadhilat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-Hadis Rasullullah s. a. w. bersabda bermaksud:

“Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya.”
Sabda baginda lagi;

“Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar.”

Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana DIA memelihara Nabi Muhammad. Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan serta hasutan syaitan. Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah.. Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya. Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, Insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar. Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah2 di sekitarnya. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur perbuatan2 orang yang benar, pahala nabi2 juga Allah melimpahkan padanya rahmat. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya. Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azza wajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid. Barang siapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Sumber: Detik Islam.com

Tuesday 2 September 2014

Rindu 3 Tahun

Gerangan yang dirindu
3 tahun sudah berlalu
bahagiakah dia?
tenteramkah di sana?

sungguh aku damba hadirnya dalam mimpi
seperti yang diberitakan mereka 
datangnya dalam senyum
wajah damai lagi indah
diam saja ia memerhati
sepertinya sudah tenang
aman dalam jagaan Al Waliy
datang menjenguk barangkali
tapi kenapa bukan dalam lenaku pula??
apakah sudah tidak sudi 
atau masih berbekas rajuknya?

ingatkah lagi
waktu aku sedang tumbuh
takutnya aku dengan gelap
tak mahu duduk
tak betah lelap

kaulah yang hembus penawar
hingga aku lena
hingga aku lupa takut itu semacam apa

kini aku dewasa
takut itu kadang menerpa
entah bagaimana hidup tanpa sebelah jiwa??
gusar kadangkala
sendirian membela diri dari duri pancaroba

jengahlah aku sesekali
rindunya aku pada redup mata
rindunya aku pada bicara
tegas dalam cinta
namun selamat kupeluk sentiasa

pinjamkan aku hatimu sebentar
agar aku tahu apa kau rasa
pada setiap teguh sabar yang kau bentengkan
pada setiap jalar liku berbisa kau apungkan
rindu, aku rindu..
moga kau baik-baik saja.. 
----------------------------------------------
belahan hati hamba
dialah wali dialah raja
kupohon "Tuhan berikanlah dia syurga"
yang tercatat pada pintunya
"buat abah tercinta."

Monday 1 September 2014

Remuk Rendam

Bertamu di jendela hati
tak habis aku mengingat pada raut-raut wajah
semakin banyak semakin jauh ia pergi
dan meninggalkan denai berdarah

berputar memori semalam
indah bercahaya menerbit rindu di ufuk kalbu
apatah lagi yang dirindu-rindu itu
dalam nafas ini menjadi jiwa-jiwa kesayangan
pantas yang diingat-ingat indah
pudar terus ditelan duka
segalanya berubah
pabila masa berganti tahun
dari indahnya kasih sayang
jadi benci dendam tak sudah
kerana ada hidup bersulam megah
dan kerana ada hidup mencari redha
lantas terpisah dalam serpih sengketa

sungguh aku ini tersalah cara menyayangi
dan kerana terlalu sayang maka ini terjadi
aku baru tahu
tak semua yang dihakmilik layak dibagi-bagi
sedangkan bila tidak diberi
langsung disoal ke mana hilang nurani

aduhai bukan hati sendiri yang disuruh jaga
pada setiap satu yang menjengah..
darah seketul di dalam dada dilapah-lapah
kerana bukan hati sendiri
tapi disuruh juga dibelai dijaga..
tinggallah yang ada padaku
remuk rendam tersisa..