Saturday 23 November 2013

Kerana Tidak Mahu Diganggu Oleh yang Tidak Pasti..

Assalamualaikum sahabat-sahabat..

Pertamanya, maaf untuk entri yang tidak kunjung tiba sebulan dua ni. Perihal cerita yang di Surabaya, saya tinggalkan seketika kerana ada sesuatu yang memanggil-manggil untuk berkongsi perihal diri buat pedoman semua.

Menerima feedback daripada rakan-rakan tentang perubahan diri. mereka melihat saya sebagai seorang yang baru.. Ada yang bertanya sejak bila saya begini? Ada juga yang memuji-muji.. "Saya suka tengok perubahan awak ni, cantik betul!" dan "Aku suka tengok stail tudung kau sekarang, keep it up that way!"

Sungguh perubahan ini tidak lain hanya kerana Allah.. Penampilan Atikah yang baru ini bukan kerana mahu dilihat cantik di mata manusia yang memandang, tetapi kerana ingin mencari yang lebih nikmat daripada itu.. Nikmat itulah, KETENANGAN.

Baru kini saya faham kenapa ramai sahabat-sahabat muslimah sudah berhijrah ke arah itu.. Ramai yang melabuhkan tudung dan pakaiannya.. Baru kini saya faham kenapa ramai yang memilih untuk dilihat sebagai seorang yang tertutup dan sederhana, malah ada yang memutuskan untuk berniqab dan melindungi wajhnya daripada menjadi tatapan yang bukan hak.

Kata bijak pandai, manusia itu selagi mana tidak kena pada batang hidungnyan sendiri, dia tidak akan faham letak duduk sesuatu perkara. Begitu juga dengan saya. Apabila diuji dengan sesuatu yang melibatkan hati, melibatkan perasaan dan pendirian, barulah saya mengerti kenapa kebanyakan hawa' memilih untuk terus melabuhkan tabir diri.

Kerana tidak mahu terus terluka, dan kerana ingin melindungi apa yang disebut sebagai harga diri.. maka saya memilih untuk teruskan dengan keputusan ini. Walaupun pada mulanya emak kurang bersetuju dengan pilihan yang baginya cukup drastik, cukup menimbulkan tanda tanya.. "kenapa sampai boleh jadi begini? Tiba-tiba pula tu.." Allahu, saya harap emak redha..

Bagi emak, saya perlu lengkapkan dalaman saya dengan nilai-nilai Islamik sepenuhnya terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk berubah secara total seperti ini.. emak bimbang jika saya tidak mampu menggendong tanggungjawab itu, maka secara tidak langsung saya akan menggores garis-garis calar kepada imej muslimah seluruhnya..

Lalu saya yakinkan emak, bahawa pilihan saya ini bukan kerana sesiapa, bukan kerana mahu mempamirkan 'kesolehan' lahiriah saya semata-mata, tetapi lebih dari itu saya tidak mahu diganggu, saya tidak mahu menjadi bahan uji kaji adam sebagai shortlist 'life partner candidates', malah lebih dari itu saya terasa seperti diperolok-olok oleh mereka yang menganggap perihal hati ini boleh dicuba-cuba.

Alhamdulillah sejak itu saya merasa lebih tenang, saya merasa diri saya lebih dihormati oleh mereka yang ajnabi. Dan mereka tidak berani berlebih-lebih seperti sebelumnya.. bicara mereka juga semakin formal. Benar kata seorang sahabat, "pakaian itu lambang keperibadian, memang pakaian tidak menentukan buruk baik akhlak seseorang, tetapi seorang yang mahu menjaga akhlaknya akan menjaga kehormatannya, orang yang mahu menjaga kehormatannya akan menjaga pakaiannya." terima kasih atas nasihat itu. Nasihat yang hampir 2 tahun ini saya terlepas pandang. Sekarang apabila di'tampar' oleh situasi yg membingitkan seperti ini, barulah saya sedar diri.

Dan kini, saya sudah tidak diganggu lagi, kerana mereka faham apabila seorang hawa itu memilih untuk lebih tertutup, maka tahulah mereka hawa' itu tidak ingin memandang, dan tidak mahu dipandang jika adam tiada niat yang jelas terhadapnya.

Dan sudah tentu apabila memilih untuk terus begini, maka secara tidak langsung ia memberikan motivasi baru kepada diri untuk lebih akrab dengan-Nya, dengan tidak memikirkan selain daripada redha-Nya semata-mata.. Sungguh bukan mudah untuk mencapai tahap itu, banyak dugaan yag siap menanti di depan sana. Ini baru permulaan, melihat rakan-rakan muslimah yang lain berhempas pulas menerima pelbagai cabaran yang sama, dan mereka berhasil, In shaa Allah, saya juga bersedia menghadapinya!