Tuesday 25 June 2013

Nikmat dalam Bersyukur..

Assalamualaikum =)

Teladan dari kisah dahulu..

Pada masa dahulu, ada tiga orang lelaki dalam kalangan Bani Israel yang menghidapi penyakit berbeza. Mereka ialah Si Kusta, Si Botak dan Si Buta. Allah ingin menguji mereka lalu diutus malaikat yang datang dalam bentuk manusia.

Malaikat datang kepada Si Kusta dan bertanya: "Apakah perkara yang paling disukaimu?" Lelaki itu menjawab: "Kulit yang baik lagi cantik warnanya. Sesungguhnya orang ramai telah meminggirkanku.." Lantas malaikat  tersebut menyapu tubuh lelaki itu. Dengan takdir Allah s.w.t lelaki tersebut mempunyai kulit yang baik lagi cantik warnanya. Malaikat bertanya lagi : "Harta apa yang paling disukaimu?" Dia menjawab "Unta." Lalu dia dikurniakan seekor unta yang telah bunting 10 bulan. Kemudian lelaki itu berkata: "Semoga engkau diberkati atas jasamu ini."

Seterusnya, malaikat datang kepada Si Botak dan bertanya: "Apakah perkara yang paling disukaimu?" Dia menjawab: "Rambut yang elok, namun sekarang ia telah hilang daripadaku. Sesungguhnya orang ramai telah menyisihkanku." Lalu malaikat menyapu kepalanya dan dengan takdir Allah s.w.t, dia mendapat rambut yang diingininya. Malaikat bertanya lagi. "Harta apa yang paling engkau sukai?" Lelaki itu menjawab "Lembu." Lantas dia dikurniakan seekor lembu yang bunting. Kemudian lelaki itu berkata: "Semoga engkau diberkati atas jasamu ini."

Kali terakhirnya, malaikat datang kepada Si Buta dan bertanya: "Apakah perkara yang paling engkau sukai?" Dia menjawab: "Allah s.w.t mengembalikan penglihatanku dan aku dapat melihat." Maka, matanya disapu dan dengan takdir Allah s.w.t dia dapat melihat kembali. Malaikat bertanya: "Apakah harta yang paling engkau sukai?" Dia menjawab: "Kambing." Lalu dia dikurniakan seekor kambing yang bunting.

Selang beberapa lama kemudian, binatang ternakan mereka membiak serta memenuhi kandang yang luas milik mereka sendiri. Suatu hari, malaikat tadi datang semula menemui mereka dalam keadaan asal masing-masing. Dia datang dalam keadaan berpenyakit kusta dan berperwatakan seorang miskin kepada lelaki pertama. Dia memohon kepadanya agar diberikan bantuan yang dapat digunakan dalam perjalanan. Tetapi, lelaki tersebut tidak mahu menolongnya dan mendakwa bahawa harta itu diperoleh melalui cara warisan. Malaikat lantas menjawab, "Jika engkau berdusta, maka Allah akan mengembalikanmu kepada keadan asalmu." Jadilah lelaki itu seperti dahulu, penyakit kustanya menimpa lagi dan disisihkan manusia.

Kemudian, malaikat datang kepada lelaki kedua dalam keadaan asalnya dan melakukan perkara yang sama. Sama seperti lelaki pertama, dia tidak mahu membantu, malah berbohong kepadanya. Lantas malaikat berkata: "Jika engkau berdusta, maka Allah akan mengembalikanmu kepada keadaan asalmu."" Jadilah lelaki  itu seperti dahulu, kepalanya Botak dan disisihkan manusia.

Akhirnya, malaikat datang kepada lelaki ketiga dan memperlakukan perkara yang sama. Berbeza dengan dua orang saudaranya tadi, dia menjawab: "Sesungguhnya aku pernah buta, lalu Allah mengembalikan penglihatanku. Aku pernah menjadi fakir, lalu Allah memberikan kekayaan kepadaku. Ambillah apa yang engkau kehendaki. Demi Allah, aku tidak akan menyusahkanmu pada hari ini dengan sesuatu yang engkau ambil semata-mata kerana Allah." Maka, malaikat menjawab "Peganglah hartamu. Sesungguhnya kamu semua telah diuji. Lalu Allah telah meredaimu dan murka terhadap kedua-dua sahabatmu." Selamatlah lelaki ketiga dengan sikapnya yang pemurah, baik hati dan bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kepadanya.

Sumber: Majalah Gen-Q; Generasi Al-Quran Kreatif, Manual Remaja Bertakwa.

Allah tak minta lebih, cuma rasa syukur bahawa semua yang dimiliki adalah pemberian-Nya yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ujian didatangkan dalam pelbagai bentuk, baik dalam bentuk musibah mahupun nikmat dan kesenangan, untuk mengatahui sejauh mana seorang hamba berpegang pada tali Allah dan tanda Allah kasih padanya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda,
 "Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t tanpa dia membawa dosa sedikitpun."

(Hadis riwayat Imam Tirmizi)

Nikmatnya mensyukuri segala yang Allah beri, sehingga tidak terlihat jalan yang lainnya melainkan hanya kepada Dia semata-mata. Alhamdulillah..

Barakallah.. Maassalam..

Best Quotes of the Day,




Saturday 22 June 2013

Sleep Paralysis @ 'Ditindih' Semasa Tidur

Assalamualaikum..

Dalam masyarakat kita, istilah "ditindih" semasa tidur itu adalah perkara yang normal yang sudah biasa didengari. Kejadian ditindih dikatakan melibatkan makhluk halus, di mana 'benda' itu akan duduk atau menindih tubuh kita sewaktu kita tidur sehingga kita tidak mampu bergerak dan akan mengakibatkan kesakitan yang luar biasa pada badan kita. Pernah alami?? Menurut seorang rakan, kejadian sebegini selalunya berlaku dalam keadaan tubuh kita keletihan, tidak suci (bagi kaum wanita ia adalah kemungkinan yang paling tinggi) atau keadaan persekitaran itu yang menyebabkan kejadian tersebut terjadi.

Biasanya individu yang mengalami kejadian ini akan terjaga daripada tidur dalam keadaannya tidak dapat bergerak, tubuhnya terasa dihimpit oleh sesuatu yang berat sehingga dia tidak mampu berbuat apa-apa, walaupun individu tersebut meronta-ronta untuk bangun dan mencuba sedaya upaya untuk melawan dengan mengubah posisi tidur, tetapi dia tetap juga gagal bergerak. Jika ada orang lain yang berdekatan pada masa itu, mereka akan melihat seolah-olah orang yang ditindih itu seperti sedang tidur dalam keadaan yang lena, sedangkan hakikatnya orang yang sedang mengalami kejadian itu bermati-matian meronta dan meminta pertolongan. 

Adakah ia perbuatan makhluk ghaib? Wallahu'alam.. Dan hanya orang yang mengalami kejadian ini akan faham bagaimana ianya berlaku.. Ada sesetengah pendapat yang menolak dakwaan bahawa ianya adalah akibat perbuatan jin kerana dianggap sebagai common phenomenon.. Namun tidak dapat dinafikan iblis sentiasa mencari peluang untuk merosakkan dan menyesatkan manusia walau dalam keadaan apa sekalipun. Hanya Allah yang mengetahui.

Di barat juga, masyarakatnya mempercayai hal yang sama. Kajian saintifik juga turut dilakukan untuk merungkai misteri yang berlaku ini sejak beberapa dekad yang lalu. Terdapat juga istilah yang digunapakai untuk menterjemahkan kejadian ini.. Sleep Paralysis atau kelumpuhan semasa tidur. 

Sleep Paralysis ini diertikan sebagai ketidakupayaan yang bersifat sementara untuk bergerak atau bercakap ketika terjaga dari tidur, dan simptom ini boleh juga terjadi semasa seseorang itu sedang dalam proses untuk tidur. Ianya berlaku untuk satu tempoh yang tidak terlalu lama, mungkin mengambil masa dalam beberapa saat, atau minit sebelum ia hilang dan tubuh kembali seperti sedia kala. Ia diyakini tidak memberi ancaman terhadap keselamatan nyawa seseorang, tetapi individu yang mengalaminya akan berasa sakit seketika di seluruh badan dan kemungkinan akan menyebabkannya panik dan berada dalam ketakutan yang boleh membawa kepada tekanan emosi seperti kemurungan, trauma dan mudah marah.


Terdapat beberapa simptom yang biasanya wujud semasa sleep paralysis ini berlaku antaranya;
- rasa seperti tercekik dan nafas tersekat-sekat di kerongkong.
- terasa seperti ada sesuatu yang sedang "duduk" di atas tubuh terutamanya di kawasan dada.
- individu yang mengalami akan berada dalam keadaan halusinasi, merasakan seolah-olah ia  mendengar tapak kaki sedang berjalan, terdengarnya suara seseorang dari jauh, dan mendengar ketukan di pintu serta sesuatu yang menghentak permukaan dinding.
- individu tersebut seolah-olah dapat melihat suatu bayangan hitam meliputi sekitar kawasan tenpat tidur atau sedang berdiri di hadapannya.
- timbul rasa takut yang ekstrem terhadap individu tersebut seperti ada suatu unsur jahat yang sedang mengganggunya.
- rasa menggeletar di seluruh tubuh badan dan telinga terasa berdengung.
- kejang seluruh badan
- terasa seolah-olah seperti sedang bermimpi tetapi pada masa yang sama seseorang itu sebenarnya telah sedar daripada tidur.

Bagi sesetengah pengamal perubatan dan pakar-pakar psikiatris, mereka berpendapat bahawa simptom dan kejadian ini adalah fenomena tubuh  yang normal kerana semasa tidur, fungsi otak masih bekerja seperti biasa tetapi sistem tubuh secara fizikalnya atau otot tubuh sudah "ditutup" untuk berehat. Tugas otak menutup fungsi otot daripada melakukan pergerakan secara optimum sebagaimana yang dilakukan semasa berjaga di siang hari adalah untuk mengelakkan berlakunya sebarang kecederaan semasa tidur, kerana sewaktu tidur, kita tidak sedar apa yang sedang berlaku di sekeliling kita.

Atas sebab-sebab tertentu, kadangkala seseorang itu akan terjaga dari tidur sebelum sempat otak menghantar isyarat untuk bangun ke seluruh sistem tubuh untuk turut "bangun" dan akhirnya menyebabkan ia tidak dapat bergerak untuk seketika dan merasa sesak di dada akibat rasa panik yang berlebihan dan inilah yang dikatakan sebagai Sleep Paralysis itu. Mereka juga berkata punca berlakunya fenomena tubuh ini adalah disebabkan tekanan sewaktu menjalani rutin harian dan waktu tidur yang tidak konsisten dan tidak mengikut kitaran yang sepatutnya.. Keletihan yang terlampau juga boleh menyumbang kepada risiko ini.

Dianggarkan seseorang itu akan mengalami fenomena ini sekurang-kurangnya dua kali seumur hidup, dan ada juga yang mengalaminya beberapa kali dalam setahun atau kerap berulang sepanjang hidupnya. Selalunya ia akan menyerang golongan remaja dan belia bawah usia 40 tahun.

Sebagai manusia dan bagi yang beragama Islam, sememangnya kita tidak boleh menafikan wujudnya unsur-unsur ghaib seperti jin dan entiti paranormal kerana ianya sebahagian daripada rukun iman yang telah kita belajar dan fahami sejak kecil. Tetapi, janganlah sampai kita terlalu terikut-ikut dengan rentak 'permainannya' sehingga akhirnya memudaratkan diri sendiri seperti terus-terusan membiarkan diri berada dalam ketakutan dan kemurungan akibat kejadian yang penuh misteri ini. 

Ada panduan yang boleh diamalkan seperti membaca ayat-ayat mazil yang terdiri daripada 33 ayat daripada pelbagai surah di dalam al-quran, menjaga ibadat yang wajib dan memperbanyakkan yang sunat, membaca ayat-ayat al-quran seperti Ummul Kitab,  Ayatul Kursi, perbanyakkan berselawat dan berzikir dengan menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya. 


Tidak dilupa, amalan meminum air masak sekurang-kurangnya segelas sebelum tidur dengan niat untuk tenang dalam tidur pada malam hari juga dapat membantu mencegah simptom-simptom ini malah terbukti keberkesanannya dalam aspek perubatan seperti melancarkan peredaran darah, membekalkan oksigen yang mencukupi keada otak yang bekerja semasa tidur, dan mampu mengelakkan strok, dengan izin Allah subhanahu wata'ala..

Mohonlah bantuan Allah untuk setiap perkara dalam hidup kita, percaya dan yakin sepenuhnya pada DIA yang maha berkuasa atas segala sesuatu di langit dan di bumi.. kerana ke hadrat Allah juga sebaik-baik tempat kita memohon perlindungan.. Semoga dirahmati dan dilindungi sentiasa.. Barakallah.. Maassalam..



Best Quotes of the Day,

Allah adalah kekuatan kita. Jadi untuk mencari kekuatan itu, carilah Allah.. 

Marah Itu Fitrah

Assalamualaikum.. :)

Rasa marah dan sakit di dalam hati itu juga satu anugerah daripada Allah swt. Ianya amanah.. Agar kemarahan itu tidak disalahgunakan, maka ada tatatertib dalam kita menghadapinya. Tidak dinafikan semua orang memiliki perasaan marah di dalam dirinya. Namun sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w yang berpegang teguh dengan ajarannya menerusi agama Islam, kita perlu bijak mengawasi tindak tanduk kita yang berpunca daripada rasa marah tersebut untuk mengelakkan ianya daripada terus berlarutan.

Rasa marah juga seringkali dikaitkan dengan individu yang memiliki sifat panas baran yang tinggi dalam dirinya. Sebenarnya, setiap daripada kita mempunyai sifat baran itu, ia memang wujud dalam diri setiap manusia. Perlu diketahui juga bahawa sikap panas baran seseorang itu sebenarnya menunjukkan, seseorang itu sedang berdepan dengan kejahatan syaitan yang sentiasa mengapi-apikan dirinya supaya bertindak dengan lebih kasar hasil daripada rasa marah dalam dirinya itu.




Cara mengatasi marah dalam Islam, antaranya:

Mengubah Posisi.
Rasulullah s.a.w bersabda,
"Apabila salah seorang di antara kamu marah dan ketika itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring."
-Hadis riawayat Muslim.

Mengubah posisi sewaktu marah akan memberikan satu refleksi tubuh yang disampaikan ke otak, dan berbalik semula ke tubuh di mana perubahan tersebut mampu mengurangkan kemuncak emosi yang menekan jiwa seseorang. Tekanan yang dihadapinya akan berkurang dengan pergerakan atau kedudukan yang sedikit berubah daripada kedudukan asal, secara tidak langsung sebenarnya dia telah melepaskan kemarahan itu secara fizikal dengan cara yang mudah dan tertib serta ia meredakan.

 

Berwudhu'
Rasulullah s.a.w bersabda,
"Marah itu datangnya daripada syaitan dan syaitan itu datangnya daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwudhu'"
-Hadis riwayat Abi Daud.

  


Minum Air.
Air itu sifatnya memang lembut dan menyejukkan, lawan yang terbaik untuk rasa panas akibat marah yang menyesakkan dada dan ruang fikiran.. Selalu kan kalau kita tonton dalam tv, atau waktu kita tengok ada dalam kalangan ahli keluarga, rakan-rakan yang marah-marah, melenting, kemudian mesti akan ada seseorang yang terkocoh-kocoh membawa air kepada orang yang marah tadi sambil berkata "sudah lah tu, minum air ni, biar reda sikit panas hati tu.." Jadi setiap kali kalau rasa nak marah, cepat-cepat cari air, sebelum minum sebutlah "A'uzubillahiminasyaithonirrojim..." dan selawatla sekurang-kurangnya 3 kali.. In shaa Allah tenang.. pahala pun dapat betul tak??

 

Beristighfar.
Marah juga dikategorikan sebagai nafsu jika ia dibiarkan menguasai emosi dan akal manusia. Hingga kadangkala manusia boleh hilang pertimbangan dan kewarasan akal kerananya.. Nauzubillahiminzalik..
Teringat kalau di rumah, bila ada saja hal-hal yang menimbulkan kemarahan, maka emak dan arwah abah dengan tegasnya akan berkata pada saya "Istighfar banyak-banyak.. Jangan dibiar syaitan terus-menerus mengawal diri tu.. buruk padahnya nanti.." Memang betul apa yang abah dan emak selalu cakap.. Beristighfar dapat mengecilkan api kemarahan dalam diri. Lebih baik memikirkan apa kesannya jika diturutkan rasa marah itu berbanding terlalu mengikut nafsu amarah untuk melepaskan kemarahan yang belum pasti dapat menyelesaikan konflik dalam jiwa tu..


Meluahkan Kemarahan Dengan Cara Yang Betul.
Cakap memanglah senang kan.. Tapi orang bila dah marah apalah sangat yang ada dalam fikiran dia melainkan saat yang ditunggu untuk melepaskan kemarahan. Macam gunung berapi yang menanti masa untuk memuntahkan laharnya. Sebab itulah.. Sila rujuk tips sebelum ini, rasionalnya kita mesti bertenang sebelum berbuat apa-apa yang mungkin akan menambahkan mudarat berbanding kebaikan. Tak salah untuk meluahkan kemarahan, tapi biarlah bertempat dan kena dengan caranya.. Iyalah, marah tu kalau disimpan-simpan, nanti akan jadi "barah" dalam hati.. Tekanan pula nanti.. Jadi relax, chill.. bertenang dulu.. Let it cool for a second.. Lepas tu, cari lah medium terbaik untuk luahkan kemarahan..







Kalau saya?? saya suka tulis apa yang saya rasa, tak kisahlah atas kertas ke, dalam diari, kemudian saya akan cari masa yang sesuai untuk luahkan rasa marah tu pada seseorang yang saya percaya.. Sudah tentu, tempat yang terbaik untuk pulangkan hati yang sakit, rosak dan terluka itu hanya ke hadrat Allah, dan pada masa yang sama jika kita boleh menerima nasihat secara langsung daripada sesama manusia, itu juga tak ada salahnya.. Asalkan pergi kepada orang yang tepat, memahami dan mampu membantu kita menjernihkan keadaan.. Jangan pula dirujuk pada orang yang suka mengapi-api.. Itu "Mami Jarum" namanya..

Mendiamkan Diri Ketika Marah.
Diam adalah salah satu cara yang sangat profesional dalam keadaan berperang dengan rasa marah itu.
Diam bukan bererti lemah, tetapi melemahkan.. Melamahkan?? Yep.. Syaitan kan sentiasa bersarang dekat dengan manusia waima di dalam salur darah sekalipun? Maka di saat marah itulah, ia menjadi peluang yang sangat baik untuk syaitan jadikan alat memecah-belahkan keturunan Adam, terutamanya sesama saudara Muslim. Ketika marahlah, segala kata-kata yang tidak baik dan kesat akan terhambur keluar dari lidah.. Tetapi apakah ia meredakan?? Tidak!! Mungkin secara zahirnya kepuasan itu memang ada, tapi kesannya dalam jangka masa panjang, terhadap yang menghamburkan kata-kata dan yang dihamburkan kata-kata itu bagaimana pula nanti??

  


Tidakkah itu hanya memanjangkan perbalahan dan mungkin juga akan memutuskan silaturrahim sesama manusia.. Malah, ia juga menjejaskan imej baik yang selama ini kita bawa, tambahan lagi jika ia diluahkan di hadapan khalayak.. Jadi berdiam diri seketika itu lebih baik dan 'selamat', tetapi bukan bermakna kita kalah.. Itulah kemenangan yang terbaik, dapat mengawal diri dan memelihara iman.. Pernah dengar pepatah ni? "Jikalau tidak mampu bercakap perkara yang baik, sekurang-kurangnya jangan bercakap perkara yang buruk. Diam adalah yang paling baik di antara kedua-duanya."

Setakat ini perkongsian dari saya, banyak lagi cara, mungkin sebahagian yang dikongsikan ini ada manfaatnya.. Segala kebaikan itu milik Allah, maka sebaik-baik tempat kembali adalah kepada Allah jua.. Semoga sentiasa dilindungi daripada segala kejahatan dan kemungkaran.. Maassalam..


Best Quotes of The Day,

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Kharaithi daripada
al-Hassan Al-Bashari bermaksud:

"Sesungguhnya lidah orang mukmin itu terletak di belakang hatinya. Apabila dia hendak berkata sesuatu, maka hatinya akan lebih mengerti sebelum diucapkan menerusi lidahnya. Lidah bagi orang munafik pula terletak di hadapan hatinya. Apabila dia berkata sesuatu, nescaya dilakukan terus dengan lidahnya dan tidak mempedulikan hatinya."

Wallahua'alam..



Thursday 6 June 2013

Kamera "Isntant" yang Menggamit Memori..

Assalamualaikum..

Bila semua orang tengah menggila dengan Canon DSLR, Nikon, Samsung segala benda yang digital, saya dengan Laila pula sibuk mencongak-congak moment indah yang akan disimpan selamanya dengan kamera foto segera yang baru kami beli tadi. 

Kisahnya.. Semalam kami ke Digital Mall untuk menebus rebat telefon bimbit, tetapi model yang ditawarkan sangat mahal dan yang berpatutan harganya pula dah habis stock. Jadi tengah syok-syok meronda dalam ruang legar DM tu, kami terpandang satu objek yang menarik perhatian kami.. Sangat comel dan sangat nostalgik. Fujifilm Instax Mini 8 yang begitu.. Haih.. Tak tahu nak cakap macam mana. 

Mulanya kami cuma tengok-tengok je dulu.. Lepas pulang dalam keadaan ralat sebab tak berjaya tebus rebat telefon, kami tak henti-henti bercakap pasal benda alah ni. Nak beli ke tak, nak beli ke tak??

Perbualan saya dan Laila pasal ni berlanjutan sampai pagi tadi. masa kami tengah study dalam library. Saya terfikir juga, tumpang fulus tengah ada, baik kumpul harta meredak yang comel-comel, nanti bila dah habis belajar, dah kerja belum tentu dapat peluang macam ni lagi. Saya cadang nak gunakan duit yang UMCEDEL bayar masa buat kaji selidik kat Pahang hari tu.. Kalau simpan, lama-lama habis digunakan macam tu je.. Lagipun mak dah bagi greenlight, "itu duit kau, pandai-pandailah nak belanja macam mana.."

Laila pun fikirkan perkara yang sama.. Bila lagi kan???? Bukan selalu pun nak berjimba betul tak.. hehehe..

Jadi kami kemas barang, melangkah keluar dari main library dengan yakin, kami tahan teksi, dan terus ke destinasi yang dituju.. Sampai di sana, dah tak toleh mana-mana lagi dah, terus ke booth Fujifilm.. Hampir 20 minit berunding dengan jurujual.. Akhirnya...


 TADAAAAAAAAA!!!!



Dah siap rasmi pun.. Cuma masa mula-mula nak guna tu awkward juga.. Yela dah berapa kurun dah tinggalkan kamera berfilem macam ni.. Hahahaha.. Nampak tak perangai berlagak tu..harga memang berpatutan, bolehla.. murahlah jugak.. tapi yang sakitnya masa nak membeli filem tu, memang agak mahal, 10 keping RM20++, tapi saya dan Laila anggap "pelaburan" yang kami buat ni berbaloi sebab kalau mengharapkan guna gajet canggih untuk rakam moment-moment berharga, memang end-up dalam facebook la jawabnya, tak pun terperam dalam memori desktop je.. kalau terpadam?? kalau kena virus?? kalau facebook kena hack nanti?? Banyak juga kalau nak dikira "kalau"nya tu.. (apalah kau merapu ni Tikah oi..)

Jadi kami dah sepakat, nak hidupkan balik nostalgia koleksi album gambar di luar alam maya, that's life should be given to. Maka pastinya kami akan lebih menghargai setiap kenangan yang dirakam dan tak mungkin terpadam sampai bila-bila.. In shaa Allah..

 Saya pilih warna putih.. Yang Laila beli tu model yang sama jugak, tapi warna kuning.. Oh come on, kami tahu kami comel, memang tak syak lagi.. hehehehehe..

Ok, takde apa pun sebenarnya, saja nak berkongsi, manalah tahu korang pun ter"nawaitu" benda yang sama kan?? Plus, this is one of the most wanted top wishlist when I was a child back then.. Tak sangka dah tua bangka macam ni baru dapat beli, hasil titik peluh sendiri.. Alhamdulillah..
Jom simpan moment indah, nanti boleh buat koleksi tunjuk kat anak cucu..
Boleh bayang 30-40 tahun nanti macam mana pula canggihnya zaman berubah, but somehow, this one hits like a legend.. Trust me!! :)

K, daaaa.... Maassalam..

Pengalaman Di Temerloh Membuka Mata, Hati dan Fikiran..

Assalamualaikum.. Seperti yang dah dijanjikan sebelum ni, pengalaman saya sepanjang 3 hari di Temerloh mengikuti kajian politik di sana akan saya kongsikan.

Hari pertama sampai di Temerloh, daripada 9 kumpulan yang telah ditetapkan, kami dibahagikan pula kepada 3 kumpulan dan setiap satu kumpulan yang terdiri daripada 3 kelompok kecil akan menjalankan kajian ke tempat yang telah juga telah pun ditetapkan.

Berlaku sedikit perubahan, kalau sebelum ni saya ada bagitahu group yang saya ikut akan pergi ke Mentakab, tapi perancangan tu berubah di saat-sata akhir, di mana kumpulan kami ditugaskan untuk ke daerah Lanchang, iaitu di  bahagian Barat bandar Temerloh.

Kumpulan saya terdiri daripada 5 ahli; saya, Syima, Laila, Kiew dan ketua kumpulan yang sangat mesra dipanggil Bangchik. Kami sampai lewat petang pada hari Jumaat itu, dan kami semua berkumpul di Sri Kemuning, salah satu pekan kecil yang terletak di dalam bandar Kuala Semantan. Walaupun kami diberi tugasan untuk mencari responden di kawasan Lanchang esoknya, tapi kami dikehendaki untuk mencari responden di kawasan Sri Kemuning tersebut sebagai permulaan. "warming up dulu" kata bak kata Bangchik Kawasan yang kami pergi adalah di sekitar kawasan perumahan flat. Mulanya memang susah nak approach penduduk di situ yang rata-ratanya masih nampak ragu dan takut-takut dengan kedatangan kami. Malah ada juga yang tidak mahu diinterview dan terus tutup pintu rapat-rapat bila tengok kehadiran kami yang nampak sangat asing pada pandangan mereka.

Tapi mujur ada juga yang masih nak bagi kerjasama dan menerima baik kedatangan kami. Saya hanya berjaya dapatkan dua responden dan pandangan mereka tentang kekalahan Dato' Saifuddin di Temerloh. kedua-dua responden memberikan pandangan yang bercanggah dan dari situ saya dah nampak bagaimana penerimaan masyarakat terhadap politik dan pilihanraya yang telah berlangsung penggal ini.

Agak kecewa sebab masa tak mengizinkan kami untuk mencari responden yang ramai sebab jam 7 malam, Dr. Zul arahkan kami untuk berkumpul di homestay yang disediakan, makan, solat bersama dan tepat jam 8.30 malam, ada sedikit briefing tentang perjalanan esok yang memerlukan kami untuk menjelajah sekitar 3 bandar di Temerloh itu seharian.

Saya tanya pada ketua kami, "takpe ke bangchik, responden hari ni tak banyak." dan Bangchik jawab "jangan risau, yang kita cari tadi untuk Semantan, esok yang paling perlu kita utamakan kat Lanchang tu. Sekarang ni relaks dulu, jom.. Nak ikut tak, Bangchik nak keluar beli burger kat depan tu.." haih, sempat lagi Bangchik ni kan? =..="

Kami memilih untuk terus tidur dalam bilik di homestay, sebab mata dah layu, lagipun bilik tu sejuk dengan air cond, memang mengulau la kami dalam bilik yang dikongsi empat orang tu.

Esoknya, kami memulakan eskpedisi mencari responden. Setiap seorang diberikan 20 set soalan kaji selidik, dan dapatkan seramai yang boleh responden dalam kalangan penduduk yang dibahagikan pula mengikut kaum dan petempatan. Tempat pertama yang kami pergi adalah di kawasan ladang getah, di mana kebanyakan penduduknya terdiri daripada orang India, jadi nisbah untuk responden bagi kaum India tinggi sedikit di kawasan ladang getah, nama tempat tu Ladang Sungai Kawang atau Kg. Sungai Kaung.

Saya, Laila dan Syima gelarkan kawasan tu sebagai "Ladang Sedih", simbolik dengan keadaan kehidupan masyarakat di situ yang serba kekurangan dan ketabahan mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan ala kadar kerana rata-rata golongan penduduk dewasa tidak berpendidikan malah ada juga yang tidak tahu membaca. Sedih, negara dah hampir 60 tahun merdeka, tetapi segelintir masyarakat masih terpinggir dari sudut pendidikan. Saya tidak menganggap ia sebagai permasalahan individu, tetapi komuniti. Bila satu komuniti itu hampir keseluruhannya tidak tamat persekolahan, tidak tahu membaca, saya tak rasa itu berpunca daripada masyarakat.

Saya ni penyibuk sikit, lain yang disuruh buat, lain saya buat. Saya tanya all out tentang faktor kemunduran masyarakat yang tidak berpendidikan ni. Rata-ratanya menjawab, "macam mana nak belajar sampai habis, bila cukup bulan pendapatan yang diterima tetap sama.. dulu susahnya lain, sekarang lain, tapi kemudahan tetap macam tu juga tak berubah.. zaman sekarang ni pun macam tu lah.. duit gaji tak sempat nak guna untuk keperluan dah kena potong untuk bayar bil, kalau cuaca baik, boleh pergi menoreh, dapatlah RM900, tapi kalau cuaca hujan, susu getah tak menjadi, paling banyak boleh dapat RM500. Kami sampai kena tambah pendapatan sendiri dengan berniaga, tapi siapa sangat yang nak beli, sebab kebanyakan orang yang tinggal di sini semuanya orang ladang, pendapatan kami lebih kurang sama, kalau menjadi untungla, kalau tak menjadi.. barang makin mahal, pendapatan kami rendah, anak nak sekolah lagi, taraf hidup pula makin tinggi.. nak belajar tak mampu, harap pada kudrat bekerja saja lah.."

Harapan mereka kini hanya terletak kepada anak-anak. Pelajaran anak-anaklah yang paling diutamakan. Sekurang-kurangnya apabila anak-anak sudah berjaya, tidak banyak sedikit pun mereka mampu menumpang senang. Mereka sedar betapa pendidikan itu penting untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, cuma mereka tidak mendapat ruang itu akibat kerenah birokrasi yang mendesak. Saya tidak bias pada mana-mana pihak, tapi inilah antara luahan hati yang sempat mereka kongsikan bersama saya sepanjang hampir 45 minit saya meluangkan masa menemuramah penduduk di situ.

Sebak jangan cakaplah.. Ada seorang pakcik tu, tak tahulah kenapa, bila pijak je kaki masuk ke rumahnya, dan bila saya pandang wajah mereka suami isteri, saya tak tahu kenapa saya rasa hati saya macam disiat-siat. Sakit bila melihat dengan mata sendiri kehidupan masyarakat yang serba serbi kekurangan, tapi masih mampu meneruskan kelangsungan hidup tanpa rungutan. "tak pernah kami merungut, inilah rasanya kami meluahkan bersungguh-sungguh pada orang luar yang baru pertama kali jejak kaki di sini." kata salah seorang penduduk di situ.

Entah macam mana mereka bertahan, entahlah..Saya tak tahu nak cakap macam mana. Harap Allah tunjukkan jalan keluar bagi kepayahan ni. Senyuman ikhlas dan kesudian mereka menerima kehadiran kami sewaktu mereka sibuk mengatur hidup untuk menjadikannya lebih baik, sangat menginsafkan, dan saya tak mampu berlama-lama di situ, bimbang kalau tugas saya terganggu bila terlalu ikutkan emosi dalam hati.. Mereka berharap, kajian ini mampu membuka mata pucuk pimpinan untuk membela nasib masyarakat yang selama ini merasa terpinggir oleh sikap tidak acuh segelintir pihak.


Dalam berusaha mendapatkan seramai yang mungkin responden, ada juga yang tak senang dengan kehadiran kami. Pengalaman dihalau oleh seorang makcik yang enggan ditemubual kerana takut kehadiran kami atas kroni dengan mana-mana pihak berkepentingan akan saya simpan sebagai pengalaman terbaik yang saya peroleh apabila pertama kali terlibat dalam kerja kaji selidik ini. Lumrahlah, bukan semua orang mampu terima kehadiran kita, masing-masing ada pandangan sendiri.

Ada lagi kawasan-kawasan petempatan lain yang kami pergi untuk mencari responden, antaranya di Desa Bakti, Sungai Kepong, Pekan Lanchang, Kg. Kenangan, Mempatih. Masing-masing kebanyakan penduduknya mengakui kredibiliti Dato' Saifuddin Abdullah sebagai pemimpin di daerah Temerloh, tetapi itulah.. Manusia bukannya sempurna sepanjang masa, setiap yang hebat pasti ada kekurangannya. Cukuplah saya katakan di sini, secara kesimpulannya, masyarakat hanya mahu suara mereka didengari, mereka mahu wakil yang mereka pilih untuk menjadi perantara mereka dengan pemerintah bersungguh-sungguh membantu mereka dan memimpin mereka ke arah menjalani kehidupan yang lebih baik dan lestari, ketelusan itu penting bagi mereka kerana itulah yang menjamin kesejahteraan, bukan material semata-mata. Lihat saja nanti apa yang bakal berlaku sepanjang 5 tahun ini apabila Temerloh sudah beralih kepimpinannya di bawah Ustaz Hj. Nasruddin Hassan Tantawi. Daripada ketiga-tiga bandar di dalam kawasan Temerloh itu, hanya Lanchang masih ditadbir oleh Kerajaan Perikatan.

Semoga apa yang diperoleh masyarakat adalah yang terbaik di bawah tanggungjawab pemimpin yang terbaik.. Setakat ni dulu karangan laporan bertema dari saya, terima kasih kerana sudi bulatkan mata membacanya yerr.. hahaha.. ok, Massalam.. :)

Best Quotes of the Day,
"Sebuah rumah itu, jika atapnya yang bocor, baiki dahulu.. jika masih bocor, tukarlah sahaja atapnya, bukan dirobohkan semuanya.."

PhotoPhoto

sebelum berangkat ke Temerloh.. Berjanggut jugak menunggu dari pukul 9.00 pagi, pukul 12.30 baru berangkat.. Tapi memang best pengalaman ni.. Kenalkan member baru, Kiew..




Tengok peta untuk elak sesat.. Macam treasure hunt pulak kan..





Masa ni kat Lebuh Raya Pantai Timur, Gambar kiri atas dan bawah masa ada lori terkandas tengah jalan sebab enjin berasap, memang sesak sikit masa ni


                                                                            Berehat kejap masa kat Surau Pekan Lanchang..  
                                                                          Agak letih masa ni,  nyenyak saya tidur ..
                                                                           Muka jangan cakapla, saya cantik sikit dari zombie.. 
                                                                                 Hahahaha...Apapun memang best sangat!!


Tiga serangkai.. Nampak je serius, time gila memang gila laaa...