Tuesday 25 June 2013

Nikmat dalam Bersyukur..

Assalamualaikum =)

Teladan dari kisah dahulu..

Pada masa dahulu, ada tiga orang lelaki dalam kalangan Bani Israel yang menghidapi penyakit berbeza. Mereka ialah Si Kusta, Si Botak dan Si Buta. Allah ingin menguji mereka lalu diutus malaikat yang datang dalam bentuk manusia.

Malaikat datang kepada Si Kusta dan bertanya: "Apakah perkara yang paling disukaimu?" Lelaki itu menjawab: "Kulit yang baik lagi cantik warnanya. Sesungguhnya orang ramai telah meminggirkanku.." Lantas malaikat  tersebut menyapu tubuh lelaki itu. Dengan takdir Allah s.w.t lelaki tersebut mempunyai kulit yang baik lagi cantik warnanya. Malaikat bertanya lagi : "Harta apa yang paling disukaimu?" Dia menjawab "Unta." Lalu dia dikurniakan seekor unta yang telah bunting 10 bulan. Kemudian lelaki itu berkata: "Semoga engkau diberkati atas jasamu ini."

Seterusnya, malaikat datang kepada Si Botak dan bertanya: "Apakah perkara yang paling disukaimu?" Dia menjawab: "Rambut yang elok, namun sekarang ia telah hilang daripadaku. Sesungguhnya orang ramai telah menyisihkanku." Lalu malaikat menyapu kepalanya dan dengan takdir Allah s.w.t, dia mendapat rambut yang diingininya. Malaikat bertanya lagi. "Harta apa yang paling engkau sukai?" Lelaki itu menjawab "Lembu." Lantas dia dikurniakan seekor lembu yang bunting. Kemudian lelaki itu berkata: "Semoga engkau diberkati atas jasamu ini."

Kali terakhirnya, malaikat datang kepada Si Buta dan bertanya: "Apakah perkara yang paling engkau sukai?" Dia menjawab: "Allah s.w.t mengembalikan penglihatanku dan aku dapat melihat." Maka, matanya disapu dan dengan takdir Allah s.w.t dia dapat melihat kembali. Malaikat bertanya: "Apakah harta yang paling engkau sukai?" Dia menjawab: "Kambing." Lalu dia dikurniakan seekor kambing yang bunting.

Selang beberapa lama kemudian, binatang ternakan mereka membiak serta memenuhi kandang yang luas milik mereka sendiri. Suatu hari, malaikat tadi datang semula menemui mereka dalam keadaan asal masing-masing. Dia datang dalam keadaan berpenyakit kusta dan berperwatakan seorang miskin kepada lelaki pertama. Dia memohon kepadanya agar diberikan bantuan yang dapat digunakan dalam perjalanan. Tetapi, lelaki tersebut tidak mahu menolongnya dan mendakwa bahawa harta itu diperoleh melalui cara warisan. Malaikat lantas menjawab, "Jika engkau berdusta, maka Allah akan mengembalikanmu kepada keadan asalmu." Jadilah lelaki itu seperti dahulu, penyakit kustanya menimpa lagi dan disisihkan manusia.

Kemudian, malaikat datang kepada lelaki kedua dalam keadaan asalnya dan melakukan perkara yang sama. Sama seperti lelaki pertama, dia tidak mahu membantu, malah berbohong kepadanya. Lantas malaikat berkata: "Jika engkau berdusta, maka Allah akan mengembalikanmu kepada keadaan asalmu."" Jadilah lelaki  itu seperti dahulu, kepalanya Botak dan disisihkan manusia.

Akhirnya, malaikat datang kepada lelaki ketiga dan memperlakukan perkara yang sama. Berbeza dengan dua orang saudaranya tadi, dia menjawab: "Sesungguhnya aku pernah buta, lalu Allah mengembalikan penglihatanku. Aku pernah menjadi fakir, lalu Allah memberikan kekayaan kepadaku. Ambillah apa yang engkau kehendaki. Demi Allah, aku tidak akan menyusahkanmu pada hari ini dengan sesuatu yang engkau ambil semata-mata kerana Allah." Maka, malaikat menjawab "Peganglah hartamu. Sesungguhnya kamu semua telah diuji. Lalu Allah telah meredaimu dan murka terhadap kedua-dua sahabatmu." Selamatlah lelaki ketiga dengan sikapnya yang pemurah, baik hati dan bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan kepadanya.

Sumber: Majalah Gen-Q; Generasi Al-Quran Kreatif, Manual Remaja Bertakwa.

Allah tak minta lebih, cuma rasa syukur bahawa semua yang dimiliki adalah pemberian-Nya yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ujian didatangkan dalam pelbagai bentuk, baik dalam bentuk musibah mahupun nikmat dan kesenangan, untuk mengatahui sejauh mana seorang hamba berpegang pada tali Allah dan tanda Allah kasih padanya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda,
 "Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t tanpa dia membawa dosa sedikitpun."

(Hadis riwayat Imam Tirmizi)

Nikmatnya mensyukuri segala yang Allah beri, sehingga tidak terlihat jalan yang lainnya melainkan hanya kepada Dia semata-mata. Alhamdulillah..

Barakallah.. Maassalam..

Best Quotes of the Day,




No comments:

Post a Comment