Saturday 22 June 2013

Marah Itu Fitrah

Assalamualaikum.. :)

Rasa marah dan sakit di dalam hati itu juga satu anugerah daripada Allah swt. Ianya amanah.. Agar kemarahan itu tidak disalahgunakan, maka ada tatatertib dalam kita menghadapinya. Tidak dinafikan semua orang memiliki perasaan marah di dalam dirinya. Namun sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w yang berpegang teguh dengan ajarannya menerusi agama Islam, kita perlu bijak mengawasi tindak tanduk kita yang berpunca daripada rasa marah tersebut untuk mengelakkan ianya daripada terus berlarutan.

Rasa marah juga seringkali dikaitkan dengan individu yang memiliki sifat panas baran yang tinggi dalam dirinya. Sebenarnya, setiap daripada kita mempunyai sifat baran itu, ia memang wujud dalam diri setiap manusia. Perlu diketahui juga bahawa sikap panas baran seseorang itu sebenarnya menunjukkan, seseorang itu sedang berdepan dengan kejahatan syaitan yang sentiasa mengapi-apikan dirinya supaya bertindak dengan lebih kasar hasil daripada rasa marah dalam dirinya itu.




Cara mengatasi marah dalam Islam, antaranya:

Mengubah Posisi.
Rasulullah s.a.w bersabda,
"Apabila salah seorang di antara kamu marah dan ketika itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring."
-Hadis riawayat Muslim.

Mengubah posisi sewaktu marah akan memberikan satu refleksi tubuh yang disampaikan ke otak, dan berbalik semula ke tubuh di mana perubahan tersebut mampu mengurangkan kemuncak emosi yang menekan jiwa seseorang. Tekanan yang dihadapinya akan berkurang dengan pergerakan atau kedudukan yang sedikit berubah daripada kedudukan asal, secara tidak langsung sebenarnya dia telah melepaskan kemarahan itu secara fizikal dengan cara yang mudah dan tertib serta ia meredakan.

 

Berwudhu'
Rasulullah s.a.w bersabda,
"Marah itu datangnya daripada syaitan dan syaitan itu datangnya daripada api, sedangkan api itu hanya dipadamkan dengan air. Oleh itu apabila salah seorang di antara kamu marah, maka hendaklah ia berwudhu'"
-Hadis riwayat Abi Daud.

  


Minum Air.
Air itu sifatnya memang lembut dan menyejukkan, lawan yang terbaik untuk rasa panas akibat marah yang menyesakkan dada dan ruang fikiran.. Selalu kan kalau kita tonton dalam tv, atau waktu kita tengok ada dalam kalangan ahli keluarga, rakan-rakan yang marah-marah, melenting, kemudian mesti akan ada seseorang yang terkocoh-kocoh membawa air kepada orang yang marah tadi sambil berkata "sudah lah tu, minum air ni, biar reda sikit panas hati tu.." Jadi setiap kali kalau rasa nak marah, cepat-cepat cari air, sebelum minum sebutlah "A'uzubillahiminasyaithonirrojim..." dan selawatla sekurang-kurangnya 3 kali.. In shaa Allah tenang.. pahala pun dapat betul tak??

 

Beristighfar.
Marah juga dikategorikan sebagai nafsu jika ia dibiarkan menguasai emosi dan akal manusia. Hingga kadangkala manusia boleh hilang pertimbangan dan kewarasan akal kerananya.. Nauzubillahiminzalik..
Teringat kalau di rumah, bila ada saja hal-hal yang menimbulkan kemarahan, maka emak dan arwah abah dengan tegasnya akan berkata pada saya "Istighfar banyak-banyak.. Jangan dibiar syaitan terus-menerus mengawal diri tu.. buruk padahnya nanti.." Memang betul apa yang abah dan emak selalu cakap.. Beristighfar dapat mengecilkan api kemarahan dalam diri. Lebih baik memikirkan apa kesannya jika diturutkan rasa marah itu berbanding terlalu mengikut nafsu amarah untuk melepaskan kemarahan yang belum pasti dapat menyelesaikan konflik dalam jiwa tu..


Meluahkan Kemarahan Dengan Cara Yang Betul.
Cakap memanglah senang kan.. Tapi orang bila dah marah apalah sangat yang ada dalam fikiran dia melainkan saat yang ditunggu untuk melepaskan kemarahan. Macam gunung berapi yang menanti masa untuk memuntahkan laharnya. Sebab itulah.. Sila rujuk tips sebelum ini, rasionalnya kita mesti bertenang sebelum berbuat apa-apa yang mungkin akan menambahkan mudarat berbanding kebaikan. Tak salah untuk meluahkan kemarahan, tapi biarlah bertempat dan kena dengan caranya.. Iyalah, marah tu kalau disimpan-simpan, nanti akan jadi "barah" dalam hati.. Tekanan pula nanti.. Jadi relax, chill.. bertenang dulu.. Let it cool for a second.. Lepas tu, cari lah medium terbaik untuk luahkan kemarahan..







Kalau saya?? saya suka tulis apa yang saya rasa, tak kisahlah atas kertas ke, dalam diari, kemudian saya akan cari masa yang sesuai untuk luahkan rasa marah tu pada seseorang yang saya percaya.. Sudah tentu, tempat yang terbaik untuk pulangkan hati yang sakit, rosak dan terluka itu hanya ke hadrat Allah, dan pada masa yang sama jika kita boleh menerima nasihat secara langsung daripada sesama manusia, itu juga tak ada salahnya.. Asalkan pergi kepada orang yang tepat, memahami dan mampu membantu kita menjernihkan keadaan.. Jangan pula dirujuk pada orang yang suka mengapi-api.. Itu "Mami Jarum" namanya..

Mendiamkan Diri Ketika Marah.
Diam adalah salah satu cara yang sangat profesional dalam keadaan berperang dengan rasa marah itu.
Diam bukan bererti lemah, tetapi melemahkan.. Melamahkan?? Yep.. Syaitan kan sentiasa bersarang dekat dengan manusia waima di dalam salur darah sekalipun? Maka di saat marah itulah, ia menjadi peluang yang sangat baik untuk syaitan jadikan alat memecah-belahkan keturunan Adam, terutamanya sesama saudara Muslim. Ketika marahlah, segala kata-kata yang tidak baik dan kesat akan terhambur keluar dari lidah.. Tetapi apakah ia meredakan?? Tidak!! Mungkin secara zahirnya kepuasan itu memang ada, tapi kesannya dalam jangka masa panjang, terhadap yang menghamburkan kata-kata dan yang dihamburkan kata-kata itu bagaimana pula nanti??

  


Tidakkah itu hanya memanjangkan perbalahan dan mungkin juga akan memutuskan silaturrahim sesama manusia.. Malah, ia juga menjejaskan imej baik yang selama ini kita bawa, tambahan lagi jika ia diluahkan di hadapan khalayak.. Jadi berdiam diri seketika itu lebih baik dan 'selamat', tetapi bukan bermakna kita kalah.. Itulah kemenangan yang terbaik, dapat mengawal diri dan memelihara iman.. Pernah dengar pepatah ni? "Jikalau tidak mampu bercakap perkara yang baik, sekurang-kurangnya jangan bercakap perkara yang buruk. Diam adalah yang paling baik di antara kedua-duanya."

Setakat ini perkongsian dari saya, banyak lagi cara, mungkin sebahagian yang dikongsikan ini ada manfaatnya.. Segala kebaikan itu milik Allah, maka sebaik-baik tempat kembali adalah kepada Allah jua.. Semoga sentiasa dilindungi daripada segala kejahatan dan kemungkaran.. Maassalam..


Best Quotes of The Day,

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Kharaithi daripada
al-Hassan Al-Bashari bermaksud:

"Sesungguhnya lidah orang mukmin itu terletak di belakang hatinya. Apabila dia hendak berkata sesuatu, maka hatinya akan lebih mengerti sebelum diucapkan menerusi lidahnya. Lidah bagi orang munafik pula terletak di hadapan hatinya. Apabila dia berkata sesuatu, nescaya dilakukan terus dengan lidahnya dan tidak mempedulikan hatinya."

Wallahua'alam..



No comments:

Post a Comment