Tuesday 25 March 2014

Apabila Aku Yang Dipilih..

Menjaga diri sendiri juga tidak lepas,
Masa kan mahu memimpin segerombolan??

Namun apabila aku yang dipilih,
Aku tahu ada hikmah, Allah sudah izin..

Sudah lama juga belakang parang ini berdaki karatnya,
Tumpul!
Buat mengetuk nyiur saja tak mungkin pecah,
Tetapi kugagahi,
Siang malam kuasah,
Siapa tahu untung nasib boleh juga jadi senjata
Membela diri
Walau yang datang menujah itu
Semuanya anak-anak panah bermuncung api..

Dari dulu aku tidak pernah mahu semua ini..
Tetapi siapa aku mahu berdalih?
Sudah ketetapan, rezeki ku
Untuk merasa bagaimana peritnya mengatur jemaah,
Apalagi jika safnya sering saja terpisah-pisah,
Aku terima, sungguh ikhlas aku terima..
Walau di depanku ratusan, malah ribuan lagi yang lebih berhak..
Aku sudikan juga menadah telapak tangan kedua-duanya
Kerana kutahu  ada DIA yang menjaga..

Cuma sesekali datang guruh berdentum,
Petanda ribut, mungkin tengkujuh,
Di dalam dadaku resah terpasung,
Berombak-ombak membadai jiwa dan roh..

Bagaikan sendirian di tengah hutan rimba,
Di atasku taring singa menganga,
Di bawahku semut api berbisa..
Dan aku??
Hanya siput kecil rapuh cengkerang,
Lambat-lambat merangkak,
Perlahan-lahan mengengsot,
Berjuang untuk maju barang selangkah cuma..
Silap masa, mungkin sampai lumat kalau dipijak..

Hanya kuharap selagi masa itu tersisa,
Kental teguh kuberdiri,
Kerana aku yakin, mahu sampai ke situ,
Ada duri liku menunggu,
Kalau aku tidak berani melawan arus,
Takkan aku bergerak ke mana-mana,
Kekal dalam denai yang sama..


Tuhan.. Kuatkanlah hamba.. 

Saturday 22 March 2014

Duhai Hawa'..

Apapun keadaannya, jika perlu menjauh, menjauhlah.. 
Hidup di dunia bukan kerana mahu mencari perhatian manusia,
tetapi alang-alang sudah menumpang kasih Tuhan, pandai-pandailah berkelana, 
ada maruah yang mesti dijaga, ada kehormatan yang nantinya bakal ditanya..

Biar saja mereka anggap kita sombong, wahai Hawa'.. 
Harga diri kita bukan boleh dibeli, dipakai buang seperti baju, yang nanti bila sudah buruk, bila sudah reput, ke lohong sampah jua akhirnya ia..

Jadi bunga jangan mudah disentuh-sentuh, Hawa'.. jangan sembarangan mahu disunting, nanti layu kau yang sakit. 
Jadi bunga itu biar berduri, biar tidak cantik tidak mengapa, biar ada racunnya juga tidak apa.. Biar tidak dipandang selalu, biarlah… 
kerana yang benar bersungguh, dia tidak akan berniat memetik, tetapi diambil dengan izin, dengan hormat beradab, untuk dijaga di tamannya sendiri, bajanya iman, bertanahkan ilmu dan disirami kasih sayang Tuhan..

Hawa, manisnya kita bukan boleh dirasa-rasa, kita bukan gula, 
dihurung semut rosak binasa, malah boleh jadi mati semut kerananya.. Bukan!
kita bukan alat untuk mahu dicuba-cuba..
Berhati-hatilah hendaknya,
kerana kita yang selalunya dipilih, jangan sesekali biarkan kita dipilih oleh dia yang salah..

Hidup biar dengan prinsip.. Wasiat nabi perisai jiwa,
"Jagalah dirimu baik-baik, usahakanlah kemuliaannya, dipandang bukan kerana rupa, tetapi kerana budi dan elok pekertinya."

Biarlah Hawa', biarkan andai mereka mentafsir kita seperti api,  
dalam tidak halal, siapa mampir terbakarlah ia.. 
pauti semangat api dari bahangan mentari, 
siapa mengangkat wajahnya mahu memandang, pasti tertunduk segan, silau mata menyakitkan.. 
Layaknya begitu, hanya yang Tuhan redha bisa merasakan nikmat hangatnya menyamankan, menyemai kehidupan.

Hawa',  mahalnya kita tidak ada sebut harga.. 
Mahalnya kita dengan maruah dan hikmah.. 
Tidak mampu dimiliki oleh dia yang mahu mensia-sia.. 
Jangan mudah menerima lafaz cinta, cinta itu boleh saja pudar, hilang..
Lemparkan itu kepada yang benar-benar ingin membina jejak syurga bersamamu sahaja.. 
Di saat itu pasti akan kau temukan cinta Tuhan di segenap rasa..
Teguhlah, Hawa', teguhlah.. Jangan mudah rebah..Jangan senang mahu menyerah,
kau tidak murah!!


Kerana kita, Hawa'.. 
Kita lahir bersama amanah, hidup kita dalam amanah, pulang nanti membawa amanah..
Maka persembahkanlah yang baik-baik saja, bukan untuk sesiapa, untuk DIA juga..  :)

Sucikan Hatimu!

Assalamualaikum..

Malam semalam ada ikut program di Akademi Pengajian Islam.. Forum bertajuk Cermin Hati, Terserlah Kecantikan Dalam Diri.. Menariknya program tu hanya untuk muslimat sahaja. Subhanallah, memang indah.. Panelnya, Ustazah Halimah Alaydrus dari Indonesia dan Ustazah Sharifah Norhayati.

Iintipatinya semua berkisar tentang hati. Tak semua input dapat malam tu, sebab sampai sana pun dah lewat, jam 10 baru masuk dewan.. Maklumlah, agak mencabar penghuni KK9 nak join program kat dalam kampus kalau tak ada kenderaan.. But it's better late than never right.. :)

Sampai je sana, dah sejam program berlangsung, senang cakap, dah nak habis pun,. Tapi sempat juga grab 2-3 perkongsian daripada program tu. Antaranya, macam mana nak kawal rasa marah, menyucikan hati dengan memaafkan dan melupakan kesalahan orang terhadap kita dan hikmah bagi orang yang sabar.

Beberapa kata-kata hikmah yang sempat diambil daripada ahli panel:

Setiap keburukan yang berlaku dalam hidup manusia, itu kerana ianya adalah sarana Allah untuk menjadikan manusia itu memiliki tingkat keimanan yang tinggi di sisi-Nya. Dianalogikan bahawa manusia itu ibarat besi, untuk menjadi sebilah pedang yang tajam, perlu ditempa, dicanai, dibakar, dijemur dan dibakar lagi berulang-ulang, kemudiannya diasah sehingga benar-benar menjadi bilah pedang yang tajam dan berkilau.. Begitulah juga dengan kita, dugaan itu ibarat api dan bahangan yang menyakitkan, melukakan, tetapi berkat kesabaran, dan berusaha menghadapinya dengan redha dan berserah diri, maka terbentuklah ia sebagai manusia yang berkualiti dan memiliki kemuliaan yang tinggi di sisi Allah.

Hati kita merupakan tempat yang bersih, umpama bekas menyimpan yang bersih dan cantik. Sudah tentu bekas yang baik sering digunakan untuk menyimpan barang-barang yang baik dan berharga juga. Masakan kita mahu menggunakan bekas yang cantik dan bersih untuk menyimpan benda-benda kotor. Jadi analoginya ringkas, benda-benda yang baik dan berharga itulah akhlak yang terpuji, sifat-sifat mahmudah, berbaik sangka, memaafkan dan sabar.  Manakala yang buruk dan busuk itulah sifat dendam, panas baran dan berburuk sangka sesama manusia..

Orang yang suka memaafkan orang lain, sebenarnya orang itu sangat menghargai dirinya, kerana mahu menyucikan hatinya dari segala noda dan dosa..

Itulah antara yang diperoleh.. Semoga majlis-majlis ilmu seperti ini berterusan, dan semoga beroleh manfaat..

Maassalam..  :)

Best Quotes of The Day,

Berkata Imam al-Ghazali


"Carilah hatimu di tiga tempat iaitu dengan banyak-banyak mengingati mati, dalam solatmu, dan ketika membaca al-Quran."