Tuesday 25 March 2014

Apabila Aku Yang Dipilih..

Menjaga diri sendiri juga tidak lepas,
Masa kan mahu memimpin segerombolan??

Namun apabila aku yang dipilih,
Aku tahu ada hikmah, Allah sudah izin..

Sudah lama juga belakang parang ini berdaki karatnya,
Tumpul!
Buat mengetuk nyiur saja tak mungkin pecah,
Tetapi kugagahi,
Siang malam kuasah,
Siapa tahu untung nasib boleh juga jadi senjata
Membela diri
Walau yang datang menujah itu
Semuanya anak-anak panah bermuncung api..

Dari dulu aku tidak pernah mahu semua ini..
Tetapi siapa aku mahu berdalih?
Sudah ketetapan, rezeki ku
Untuk merasa bagaimana peritnya mengatur jemaah,
Apalagi jika safnya sering saja terpisah-pisah,
Aku terima, sungguh ikhlas aku terima..
Walau di depanku ratusan, malah ribuan lagi yang lebih berhak..
Aku sudikan juga menadah telapak tangan kedua-duanya
Kerana kutahu  ada DIA yang menjaga..

Cuma sesekali datang guruh berdentum,
Petanda ribut, mungkin tengkujuh,
Di dalam dadaku resah terpasung,
Berombak-ombak membadai jiwa dan roh..

Bagaikan sendirian di tengah hutan rimba,
Di atasku taring singa menganga,
Di bawahku semut api berbisa..
Dan aku??
Hanya siput kecil rapuh cengkerang,
Lambat-lambat merangkak,
Perlahan-lahan mengengsot,
Berjuang untuk maju barang selangkah cuma..
Silap masa, mungkin sampai lumat kalau dipijak..

Hanya kuharap selagi masa itu tersisa,
Kental teguh kuberdiri,
Kerana aku yakin, mahu sampai ke situ,
Ada duri liku menunggu,
Kalau aku tidak berani melawan arus,
Takkan aku bergerak ke mana-mana,
Kekal dalam denai yang sama..


Tuhan.. Kuatkanlah hamba.. 

No comments:

Post a Comment