Saturday 22 March 2014

Duhai Hawa'..

Apapun keadaannya, jika perlu menjauh, menjauhlah.. 
Hidup di dunia bukan kerana mahu mencari perhatian manusia,
tetapi alang-alang sudah menumpang kasih Tuhan, pandai-pandailah berkelana, 
ada maruah yang mesti dijaga, ada kehormatan yang nantinya bakal ditanya..

Biar saja mereka anggap kita sombong, wahai Hawa'.. 
Harga diri kita bukan boleh dibeli, dipakai buang seperti baju, yang nanti bila sudah buruk, bila sudah reput, ke lohong sampah jua akhirnya ia..

Jadi bunga jangan mudah disentuh-sentuh, Hawa'.. jangan sembarangan mahu disunting, nanti layu kau yang sakit. 
Jadi bunga itu biar berduri, biar tidak cantik tidak mengapa, biar ada racunnya juga tidak apa.. Biar tidak dipandang selalu, biarlah… 
kerana yang benar bersungguh, dia tidak akan berniat memetik, tetapi diambil dengan izin, dengan hormat beradab, untuk dijaga di tamannya sendiri, bajanya iman, bertanahkan ilmu dan disirami kasih sayang Tuhan..

Hawa, manisnya kita bukan boleh dirasa-rasa, kita bukan gula, 
dihurung semut rosak binasa, malah boleh jadi mati semut kerananya.. Bukan!
kita bukan alat untuk mahu dicuba-cuba..
Berhati-hatilah hendaknya,
kerana kita yang selalunya dipilih, jangan sesekali biarkan kita dipilih oleh dia yang salah..

Hidup biar dengan prinsip.. Wasiat nabi perisai jiwa,
"Jagalah dirimu baik-baik, usahakanlah kemuliaannya, dipandang bukan kerana rupa, tetapi kerana budi dan elok pekertinya."

Biarlah Hawa', biarkan andai mereka mentafsir kita seperti api,  
dalam tidak halal, siapa mampir terbakarlah ia.. 
pauti semangat api dari bahangan mentari, 
siapa mengangkat wajahnya mahu memandang, pasti tertunduk segan, silau mata menyakitkan.. 
Layaknya begitu, hanya yang Tuhan redha bisa merasakan nikmat hangatnya menyamankan, menyemai kehidupan.

Hawa',  mahalnya kita tidak ada sebut harga.. 
Mahalnya kita dengan maruah dan hikmah.. 
Tidak mampu dimiliki oleh dia yang mahu mensia-sia.. 
Jangan mudah menerima lafaz cinta, cinta itu boleh saja pudar, hilang..
Lemparkan itu kepada yang benar-benar ingin membina jejak syurga bersamamu sahaja.. 
Di saat itu pasti akan kau temukan cinta Tuhan di segenap rasa..
Teguhlah, Hawa', teguhlah.. Jangan mudah rebah..Jangan senang mahu menyerah,
kau tidak murah!!


Kerana kita, Hawa'.. 
Kita lahir bersama amanah, hidup kita dalam amanah, pulang nanti membawa amanah..
Maka persembahkanlah yang baik-baik saja, bukan untuk sesiapa, untuk DIA juga..  :)

No comments:

Post a Comment