Sunday 24 February 2013

Diari itu Hak Peribadi!

Assalamualaikum..
Diari merupakan salah satu medium untuk kita menulis tentang kegiatan harian kita, meluahkan isi hati, berkongsi suka duka.. Sesuatu yang paling kita percaya untuk kita menulis dan bercerita apa sahaja tanpa rasa ragu.


Kita semua tahu kan, perbuatan suka membaca diari orang lain itu salah satu tindakan yang salah dan boleh dianggap sangat biadab sehingga boleh mendatangkan rasa marah dan benci pemilik diari itu terhadap orang yang membacanya betul tak? Kalau baca je takpe, ada pulak sampai bercerita tentang kandungan diari itu kepada orang lain dengan niat mengaibkan pemilik tu. Ataupun dijadikan bahan untuk mengancam si pemilik dengan ugutan untuk menghebahkannya pada orang lain demi kepentingan diri sendiri.. Teruknya...

Diari ni adalah barang peribadi, apa sahaja yang tekandung di dalamnya sangatlah sulit, tidak boleh dibaca sesuka hati tanpa keizinan pemiliknya. Melainkan jika berlaku sesuatu yang memerlukan kita untuk mendapatkan maklumat-maklumat penting yang mungkin hanya tercatat di dalam diari peribadi seseorang seperti dijadikan bahan bukti bagi kes-kes jenayah, kematian, mengungkapi sesuatu kebenaran dan sebagainya.

Ada sesetengah pandangan individu yang mengatakan "kalau dah tak suka orang baca diari tu, janganlah bagi orang lain nampak yang diari tu ada." "diari kena simpan di tempat yang berkunci, dalam loker, dalam laci, bukan letak sebaris dengan buku-buku di atas meja atau tunjuk pada orang lain."

Seriously, itu hujah yang bagi saya tidak patut diucap oleh individu tesebut jika dia faham apa itu "jujur dan amanah". Kalau sebuah buku itu bukan diari sekalipun, bukan kepunyaan kita, bukan disimpan di tempat kita, dan tak ada kena-mengena dengan kita, kita tidak berhak untuk menyentuhnya sama sekali apatah lagi membuka lembarannya satu-persatu dan membaca setiap isi kandungan di dalamnya.

Walaupun itu cuma buku nota biasa sekalipun, kalau kita tak ada apa-apa urusan terhadapnya, kita tak ada hak untuk menyentuhnya tanpa pengetahuan dan kebenaran daipada si pemilik. Itu sama sekali tidak menghormati privasi dan hak orang lain. Inikan pula diari.. DIARI.. faham tak??

"Ok, macam mana kalau diari tu tercicir atas lantai? Macam mana nak pulangkan dan tahu siapa pemiliknya kalau tak baca isi di dalamnya?"

Pandangan saya sebagai individu yang turut memiliki diari, pertamanya, jarang-jarang berlaku apabila pemilik diari membawa diari itu keluar dari tempatnya, rumah, bilik, asrama dan sebagainya melainkan jika ada beberapa perkara yang membuatkan pemilik diari berasa membawa diari bersama-sama ketika keluar adalah perlu.. Balik kampung, melancong dan apa-apa sajalah..

Kalau tercicir pun, mesti dalam kawasan yang tertutup atau di lingkungan yang berdekatan. Jadi, kalau terjumpa diari yang tercicir tu, di bahagian muka surat pertama diari mesti ada dicatatkan kan nama pemilik diari. Baca yang tu cukup untuk dapatkan maklumat pemilik dan terus pulangkan.

"Macam mana kalau dah tak jumpa pemilik diari tu?"

Dengar sini kawan-kawan sekalian, orang yang diarinya tercicir tidak akan dapat hidup dengan tenang sampailah dia jumpa semula diari dia tu. Selagi tak dapat, gelisah la dia, tahu tak cacing bila kena panas macam mana? Hah, macam tulah. So dia akan pergi semula ke tempat-tempat yang dia rasa itulah tempat terakhir diari dia ada dengan dia. Cepat atau lambat je. Jadi amanahlah dengan barang orang lain. Bayangkan kita dalam situasi dia, susah hati betul tak?

"Kalau pemilik diari tu tak muncul-muncul jugak, dan takde maklumat yang boleh membantu untuk diari tu dipulangkan macam mana pulak?"

Haih.. Banyaknye "kalau".. Di pihak saya, kalau saya dalam situasi tu, itu mungkin tandanya saya dah yakin yang diari saya betul-betul hilang, dan kalau hamba Allah yang terjumpa diari saya tu dah tak sanggup lagi nak menyimpannya untuk satu tempoh yang sangat lama, saya lebih redha jika diari saya tu dilupuskan. Bakar atau... Bakar saja dan lupakan sebentar tentang isu pemanasan global, pencemaran alam sekitar, penipisan lapisan ozon, pembakaran terbuka bla bla bla..

Itu lebih baik untuk saya dan untuk hamba Allah yang terjumpa diari saya tu.. Saya akan anggap kes selesai.. Daripada dibelenggu rasa serba salah yang tak ada kesudahan kan.. Maka lupuskan saja.. Itu bagi saya, tak tahulah pandangan orang lain macam mana pulak ye idok..

Bila kita tahu diari itu milik individu yang kita kenal, cepat-cepat serahkan semula padanya dan pastikan, kita yakinkan pemilik diari tu yang "Demi Allah, aku tak baca diari kau." Kalau tak, mungkin sampai bila-bila orang tu akan syak yang kita memang dah baca diari dia..Tak mungkin kita nak menipu guna nama Tuhan kan, walaupun memang ada orang yang buat macam tu, tapi janganlah kita pun tergolong dalam sebahagian daripada manusia yang tak jujur macam tu. Berat tanggungjawabnya nanti.

Ingatlah yang hidup kita bukan setakat di dunia. Kalau urusan sekecil hama pun Allah akan timbangnya di akhirat nanti, apatah lagi perihal amanah yang satu ini walaupun hanya pada sebuah diari. Dan ingat, macam mana kita tak suka orang usik barang peribadi kita, macam tulah orang lain pun.
 
"Habis tu buat apa tulis diari kalau tak nak orang lain baca? Simpan jela dalam hati."

Tak semua rasa dalam hati tu kita boleh pendam terus dalam hati sampai bila-bila. Nak tak nak kita kena luahkan, kita ni manusia yang Allah ciptakan dengan had-had kemampuannya walau sehebat manapun pencapaian kita selama kita hidup. Bagi sesetangah individu, dia tidak mampu untuk simpan segala perasaan, masalah, malah rahsia hidupnya dalam hati, jiwanya boleh tertekan, fikiran pun boleh kusut.

Sekurang-kurangnya, kalaupun individu itu tak boleh nak bercerita pada orang lain tentang apa yang terbuku dalam hati dia tu, ada diari yang boleh simpan cerita dia.. Tempat dia meluahkan. Contohnya bila rasa sedih, perasaan tu tak boleh nak dipendam, kalau tak akan bertambah sakit. Lantas mengalirkan air mata akan dapat mengurangkan kepedihan itu.

Macam tu jugak la dengan menulis sesuatu yang kita rasa, sekurang-kurangnya perasaan yang penuh emosi itu akan berkurangan. Dan nanti apabila tulisan itu dibaca semula, mungkin akan mencetuskan motivasi dan pengajaran untuk pemiliknya supaya menjadi seseorang yang lebih baik.

Lainlah kalau apa yang kita luahkan itu untuk dijadikan tatapan umum, tapi itu bukan diarilah.. Itu namanya blogging atau fb-ying atau tweeting dan yang sewaktu dengannya. Berkongsi tentang hal-hal peribadi itu juga terpulang kepada yang empunya cerita, tapi saya percaya sejauh manapun kisah-kisah peribadi kita kongsikan pada orang lain (kawan baik, adik beradik, ibu bapa, kekasih etc..) pasti akan ada satu dua perkara yang hanya diari saja medium yang paling kita percaya.

Teringat pulak pesan seorang sahabat saya.. "Allah saja sebaik-baik tempat kita mengadu. Al-Quran sebaik-baik penawar bagi hati.." Terserah pada kehendak dan pandangan masing-masing. Tapi saya sangat bersetuju dengan nasihat sahabat saya tu. Tapi diari ni lain.. Orang yang faham, dia tahulah

Cuma apa yang saya nak tegaskan di sini, jangan baca diari orang tanpa kebenaran, walaupun orang itu adalah orang yang paling rapat dengan kita. Mahukah kita bila orang hilang kepercayaan terhadap kita, dicop sebagai pengkhianat dan dibenci hanya kerana kita mengusik hak peribadi orang lain? Renungkanlah..
(pe ke halnya skema bebenor ayat teman hari ni yong?? hahahaha...)

Seriousla weh.. Maassalam.. ^_^

Best Quotes of the Day..

Pelihara jujur dan amanah kita, maka Allah akan pelihara hidup kita selamanya.





No comments:

Post a Comment