Thursday 18 July 2013

Semangat Nur Qistina Huda yang Memberi Inspirasi.

Assalamualaikum..
Hari ni saya terpanggil untuk berkongsi kisah tentang seorang remaja yang telah membuka mata saya untuk kesekian kalinya tentang erti syukur dan menghargai kehidupan.

Tadi saya tonton rancangan Potret Bersamamu di TV3, kali ni mereka membawakan kisah seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang sedang menghidap penyakit Acute Myloid Leukemia.

Qistina Huda, bukan sahaja sedang menderita penyakit barah yang membunuh itu, malah beliau juga sering berhadapan dengan komplikasi pada  jantungnya setiap kali melakukan treatment untuk penyakitnya itu. Namun apa yang membuatkan saya kagum, Qistina tidak pernah patah semangat untuk menjalani kehidupan yang positif, beliau sentiasa percaya selagi termampu, beliau akan bertahan hingga ke akhirnya.

Bagi Qistina, beliau tidak seharusnya merasa tertekan dan lemah dengan ujian yang diberikan Allah kepadanya, malah ianya sentiasa menjadi pembakar semangat dan pencetus keazaman yang tinggi agar cita-citanya untuk berjaya dalam pelajaran dan kehidupan tidak terkubur begitu sahaja.

Di sekolah, dia sama seperti pelajar-pelajar yang lainnya.. Malah ada dalam kalangan guru-guru dan rakan-rakannya tidak tahu bahawa di sebalik kecerdasannya di kelas dan berpersatuan, dia sedang menyimpan dugaan yang hebat. Dan hal itu menjadikan dia sentiasa dihormati oleh mereka yang mengenalinya. Qistina juga dikenali sebagai seorang pelajar yang memiliki personaliti unggul di sekolahnya, maka dengan ketrampilan itu beliau mendapat kepercayaan pihak sekolah untuk menyandang jawatan pengawas.

Jawatan yang diterima dipikul dengan penuh amanah dan setiap tugasan yang diberikan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Dalam kelas pun begitu, beliau seorang yang gigih, sentiasa fokus dengan apa yang diajar, dan pada masa yang sama tidak melepaskan peluang melibatkan diri dengan aktiviti yang dianjurkan di sekolahnya. Dia mahu dilihat dan dianggap sama seperti rakan-rakan sebaya yang lain, supaya stigma "orang sakit itu selalu nampak lemah" tidak ada dalam kamus hidupnya.

Menurut doktor yang merawat Qistina, katanya tidak semua pesakit mampu memiliki daya tahan fizikal, mental dan emosi seperti remaja ini. Walaupun di usia yang sangat muda, Qistina begitu matang menerima dan melawan penyakit yang dihidapi. Semangat seperti ini selalunya memberikan harapan yang lebih cerah untuk pesakit sepertinya sembuh atau sekurang-kurangnya dapat bertahan dalam jangka waktu yang panjang, disebabkan keinginan beliau sendiri untuk sembuh dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

Dengan pengalaman yang dilalui, Qistina telah mengambil inisiatif untuk menjadikannya  sebagai pencetus motivasi buat remaja di luar sana agar tidak menganggap ujian sebagai penghalang jalan untuk memajukan diri, yang diadaptasi  melalui penulisan novel hasil karyanya sendiri. Tak sabar nak tunggu Qistina terbitkan novelnya tu.. Dan tak sabar nak berkongsi keutuhan spiritual yang terpahat dalam diri hamba Allah yang tabah ini.

Harap perkongsian ini memberi kesedaran, bahawa setiap dugaan yang dilalui itu tidak menjadikan hati kita rapuh dan berputus asa dengan rahmat Tuhan, sesungguhnya Allah itu Maha Baik, Dia tidak akan memberatkan ujian untuk hamba-Nya melangkaui batas kemampuan hamba-Nya itu.. Semoga Qistina dikurniakan kesembuhan, dan terus menyebarkan inspirasi untuk generasi muda yang lain, bahawa hidup ini amat berharga untuk disesali. Inilah kualiti umat manusia yang dinginkan dalam keluarga, masyarakat dan agama. In shaa Allah.. All the best to her..

 Best Quotes of the Day,
"Selagi kita tahu bahawa kita mampu, maka bertahanlah.."- Nur Qistina Huda Hasbullah





2 comments:

  1. Allahuakbar! Very inspiring story. May Allah give us all the courage & strength to endure our own challenges in life no matter how small or big. Thank you for sharing!

    ReplyDelete
  2. Dia tu satu sekolah dgn saya..

    ReplyDelete