Friday 12 July 2013

Puasa Itu Makanan Ruhani

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. Ramadhan kembali lagi.. semoga Allah memberkati ibadah kita ini dan diberikan ganjaran serta diterima di sisi Allah hendaknya.

Memandangkan sekarang kita sedang dalam mood menyambut Ramadhan, jadi sharing hari ni tentang hikmah Ramadhan dan puasa itu kepada diri setiap individu/muslim khususnya.

Minggu ini rancangan Al-Kuliyyah membincangkan topik berkenaan puasa menerusi tajuk "Mengenali Diri" yang disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Sharhan Shafie.. Menarik perkongsiannya.. Saya tak mampu huraikan keseluruhan topik perbincangan tapi antara yang benar-benar buat saya rasa tertarik adalah tentang salah satu intipati yang ustaz Sharhan sampaikan adalah "puasa itu adalah makanan ruhani.."

Dalam diri manusia itu terdapat dua komponen asas, iaitu jasmani dan ruhani.. Makanan bagi jasmani seseorang manusia itu adalah apa yang diperolehinya secara fizikal, makanan, minuman.. Contoh, kita mengambil sarapan pagi supaya kita bertenaga untuk melakukan aktiviti untuk sepanjang hari.. Sarapan adalah permulaan hari yang menjadi kunci kesihatan seseorang.

Di bulan Ramadhan misalnya, kita disunatkan bersahur supaya keperluan tenaga kita mencukupi untuk melakukan rutin biasa pada siang hari sehinggalah kita berbuka puasa. Tanpa sahur, proses berpuasa itu tidak mampu berlangsung dengan baik.. Malah Nabi juga memberi perbezaan puasa orang Islam dan bukan Islam adalah terletak pada sahur. Ada berkat dan khasiatnya kepada tubuh badan.

Tapi bagaimana dengan komponen diri manusia yang satu ini (ruhani)?? Sudah tentu, ruhani memerlukan khasiat "makanan" yang terbaik untuk memastikan kesihatan dalaman kita terjamin. Kesihatan dalaman itu termasuklah hati, emosi, spiritual dan mental kita. Justeru, menurut Ustaz Sharhan, puasa itu merupakan salah satu makanan ruhani yang terbaik yang dapat menjadikan seseorang muslim itu sentiasa sihat dan berasa bahagia dengan kehidupan yang dijalaninya.

Dengan berpuasa, jiwa kita secara automatiknya akan terdidik dan didisiplinkan untuk sentiasa menjaga perlakuan dan mengawal nafsu. Sewaktu berpuasa, kita cenderung untuk sentiasa meletakkan diri kita dalam keadaan sepositif yang mungkin. Contohnya, kita akan menjadi serba salah untuk ponteng solat atau melengah-lengahkannya, kita menjaga perlakuan kita agar tidak keterlaluan atau berlebih-lebihan, dan setiap kali emosi kita terganggu hingga menyebabkan rasa marah mula menguasai diri, secara automatiknya kita akan berkata pada diri.. "sabar, tengah puasa ni.."

Jadi dengan itu, secara tidak langsung kita telah berjaya mendidik hati kita supaya sentiasa bersabar dan mengawal diri agar tidak meburukkan keadaan, atau tidak merosakkan ibadah kita seharian, hanya disebabkan perasaan yang hanya bersifat sementara itu.. Itulah makanan ruhani yang dimaksudkan..  Hati, jiwa dan minda dipenuhi dengan perkara-perkara yang bersifat sederhana dan sarat dengan rasa rendah diri terhadap ibadah yang dilakukan untuk Allah swt., dan secara tidak langsung kita sedang meletakkan diri kita dalam lingkungan yang selamat daripada perkara yang kurang mendatangkan manfaat kepada kita, dan juga orang di sekeliling kita.

Cuba kita kenang kembali sekilas lalu tentang sejarah Perang Badar.. Sebuah ekspedisi jihad yang berlaku pada tanggal 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah (624 Masihi) di Lembah Badar yang terletak di luar Kota Madinah.. Pada waktu itu tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w adalah seramai 313 orang manakala tentera Quraisy yang dikepalai oleh Abu Suffian melalui bantuan ketenteraan daripada Abu Jahal adalah seramai 950 hingga 1000 orang, hampir 3 kali ganda besar jumlahnya berbanding tentera Islam.

Bayangkanlah dalam keadaan bilangan tentera Islam yang sangat minima untuk berhadapan dengan musuh-musuh Allah, juga pada masa yang sama kewajipan melaksanakan ibadah puasa di bulan yang mulia juga mesti diteruskan, dalam keadaan lapar dan dahaga, di bawah terik matahari yang bukan kepalang panasnya, namun daripada mana datangnya kekuatan para mujahidin ini menghadapi tentangan daripada golongan kafir Quraisy?

Sudah pasti perkara yang paling asas adalah kekuatan spiritual yang Allah kurniakan kepada Rasulullah s.a.w, para sahabat dan para mujahidin untuk kekal istiqamah dalam perjuangan dan pengabdian diri yang mutlak kepada-Nya, dengan  menjadikan zikir, ayat-ayat suci al-Quran serta keyakinan yang sepenuhnya terhadap pertolongan Allah itu sebagai hidangan paling enak untuk santapan ruhani mereka.. Dan dengan kekuatan dan tekad yang tidak berbelah bagi untuk mempertahankan kesucian agama Allah ini, maka Allah utuskan bantuan-Nya melalui malaikat dalam bentuk angin dan ribut pasir, hingga akhirnya musuh-musuh Allah dengan mudah dapat ditewaskan.

Jadi, mesej yang ingin disampaikan adalah, seseorang mukmin itu tidak sepatutnya merasakan dirinya lemah, letih, dan lesu di sepanjang bulan Ramadhan.. Dengan berpuasa, seorang mukmin itu akan menjadi lebih kuat kerana kekuatan inilah yang diperlukan untuk melaksanakan jihad yang paling utama, iaitu jihad melawan dan mengawal hawa nafsu. Jangan sesekali menjadikan puasa itu sebagai alasan untuk tidak proaktif, malah di bulan inilah kita digalakkan menggandakan amalan, kerana daripadanya juga keberkatan dan pahala itu juga akan turut dilipatgandakan oleh Allah yang Maha Pemurah..

Itulah sedikit info yang boleh dikongsi kali ni.. Selamat menjalani ibadah puasa, dan jom berusaha menjadi umat Islam yang kuat jasmani, kuat ruhani.. Maassalam :)

Best Quotes of the Day,
"Permulaan Ramadhan itu adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan (maghfirah), dan penghujungnya adalah kebebasan daripada api neraka."

No comments:

Post a Comment