Wednesday 6 December 2017

Bicara Pada Takdir

Aku tidak takut akan cinta
Kerana rasa ini anugerah
Aku cuma bimbang tersalah memberi hati
Bimbang terluka lagi

Lama kututup jendela hati ini
Lama hingga usang dan tidak lagi yang berani mengetuk, apatah lagi menghuni

Dan dalam aku leka dengan menyulam cinta di lapangan hidupku, akhirnya ada yang sudi menjengah
Datang dengan senyuman yang pada mata hitamku, dia ikhlas menyerah
Tunduk hormatnya tatkala pandangan saling bertaut, malah bersungguh membersihkan debu-debu usang yang bersarang di relung jiwa.

Di bibirnya tak terucap nada setia
Tetapi dibuktikan dengan restu dari bonda
Yang dipinta tanpa perlu bersulam manisnya janji yang entahkan terkota
Itu menguatkan lagi baik sangka
Bahawa niatnya mahu menjalin rasa
Bertunjangkan sebenar-benar rasa untuk yang Esa.

Namun entah kenapa
Tatkala tabir hari berganti purnama
Janji ikatan teguh dibina
Terasa dia mula berubah rupa
Daripada lelaki yang kuyakini keinginannya
Menjadi asing dan seperti tidak pernah berjumpa
Bicara juga lebih dingin jika dikirakan dengan embun malam sepertiga
Sepertinya aku yang beria-ia
Sedangkan dia semakin tak mengendah
Wujud atau tidak sama saja
Sedangkan dia yang menuntun agar segalanya disegera

Aku juga hilang kata
Di depan bonda
Di depan semua
Bila ditanya khabar berita
Bagaimana bisa aku berkongsi cerita
Jika denganku sendiri sudah besar jurang tercipta
Bukan tidak pernah kutanyakan padanya
Namun tak acuh sahaja lagaknya
Seperti berbicara atas urusan niaga
Dia semakin berahsia
Menerbitkan rasa gelisah di dada

Kuadukan pada temanku
Katanya berikan masa
Paling tidak hingga ke waktu yang dia janjikan
Biar selesai segala urusannya
Urusan dunia yang menangguhkan sebahagian kecukupan agama
Entahlah bila kan bertemu kesudahannya
Namun dalam doa tetap saja ratip harapku setia
Menguntai rayuan pada sang Pemberi Cinta
Moga dimudahkan segalanya
Kerana pada rapuhnya tegak seorang hamba,
Masih ampuhnya harapan dan doa

Rabb
Andai ini benar untukku,
Kau mudahkanlah perjalanannya
Andai bukan untukku
Mudahkanlah hatiku untuk terus reda
Kerana aku yakin yang Kauizinkan untukku
Hanyalah kebaikan semata-mata
Sekalipun di persimpangan, pahitnya dugaan itu tak terkata
Dengan secebis iman yang masih tersisa,
Aku tahu Kau selalu ada.

No comments:

Post a Comment