Friday 18 November 2016

Jika Mahu Bersahabat

Assalamualaikum.

Lagi. Perihal SAHABAT.

Kalau mahu bersahabat, pertama sekali jangan kau lihat pada paras rupanya. Lihatlah bagaimana dia menghargainya ketika kau kosong, ketika kau tak punya apa2 untuk dibanggakan. Tetapi dia tetap memilih untuk bersahabat denganmu. Kerana luhurnya hatimu.

Kalau mahu bersahabat. Jangan sesekali kau mengambil kesempatan atas kebaikannya. Kadang sahabat yang sejati, tak punya material untuk dibagi. Melainkan sekeping hati yang tulus dan ikhlas menerimamu seadanya. Janganlah kau pergunakan dia ketika mana kau perlu, lantas menghilangkan diri dan menjauhi saat kepentinganmu dipenuhinya.

Kalau mahu bersahabat, jangan kau terlalu menguji betapa baiknya dia. Atau betapa sabarnya dia. Kerana semulia apapun nilai kemanusiaan yang ada pada dirinya, tetap dia hanyalah manusia. Tidak pernah sempurna. Tidak selamanya mampu bertahan menerima apa sahaja yang dilemparkan kepadanya. Kerana akan sampai satu tahap, tingkat kesabaran yang ada dalam dirinya akan goyah dan runtuh jua.

Kalau mahu berasabat, jangan kau tuju kepada harta yang dia ada. Aku sedar, dalam dunia serba mencabar ini, harta dan kebendaan itu sentiasa menjadi idaman dan buruan setiap insan. Walau sebaik manapun dia. Janganlah kau pergunakan harta (kekayaan, wang, kebendaan, kemasyhuran) yang ada padanya dengan sewenangnya tanpa rasa bersalah. Waima dia itu kaya sekalipun. JANGAN! Apatah lagi jika kau tahu dia itu hidupnya sederhana, pendapatannya tidak seberapa, malah dia punya keluarga untuk dia berbakti dan utamakan.

Kalau mahu bersahabat, jangan berpura-pura. Jangan kau puja-puji dia di depannya dan kau umpat keji dia dibelakangnya  Kerana itulah sejelik-jelik perbuatan apatah lagi setelah banyak kebaikan yang dia perbuat kepadamu, setelah banyak pertolongan yang diberikan kepadamu ketika kau tersepit dan susah dahulu.

Kalau mahu bersahabat, jangan muncul ketika kau hanya ditimpa musibah atau hanya kau mahukan sesuatu daripadanya semata-mata. Jangan apabila senang kau lupa padanya, kau abaikan dia dan kau khianati dia. Malah kau tinggalkan  dia pada waktu dia pula yang memerlukanmu ketika itu. Itu tidak adil namanya, walaupun hakikatnya tidaklah kebaikan yang diberi diminta balasannya darimu. Tidak, bukan begitu. Cukup sekadar kau hargai, dan kau sebut kasih sayang Tuhan untuknya di dalam doamu.

Kalau mahu bersahabat, tolonglah. Jangan sesekali kau berbohong padanya. Berahsia itu mungkin boleh diterima, tetapi sekali kau berbohong padanya, seribu kali hilangnya percaya dia kepadamu. Sungguhpun dia masih sudi memaafkan, tapi apa yang dipelajarinya daripada peristiwa lalu tidak akan sesekali dilupakan. Maka, jangan kau khianati peluang kedua yang diberi.

Percayalah, dalam apapun jua perhubungan, sama ada ianya persahabatan atau percintaan. Asanya adalah kepercayaan dan kesetiaan. Tanpa salah satu atau kedua-duanya, hancurlah perhubungan itu.

Ingin sekali aku mencontohi persahabatan yang terjalin antara Rasulullah s.a.w dengan para sahabat. Tidak ada keraguan, tidak ada pengkhianatan, tidak ada yang mengambil kesempatan. Tidak ada yag mementingkan diri. Tidak ada muslihat yang membinasakan antara satu sama lain. Segalanya dipenuhi dengan kasih sayang , disulami keimanan, keikhlasan, kejujuran dan rasa cinta menuju tingkat tertinggi, iaitu rahmat Allah s.w.t.

Sahabat, jika kau tidak lagi mampu menjadi sahabat yang memberi kebaikan kepada sahabatmu, jangan pula kau menjadi 'sahabat' yang membawa keburukan dan kebinasaan kepadanya.

Pergilah jika kau tidak lagi mampu dan mahu menjadi sahabat yang baik untuknya. Jangan kau mudaratkan jiwanya. Baginya, peluang untuk kesekian kali itu sudah cukup mencambahkan rasa sakit dalam hatinya, lantaran kau memperlakukan dia persis boneka yang boleh kau pergunakan bila perlu. Pergilah teruskan dengan langkahmu di sana yang sudah tiada seiringannya lagi dengan sahabatmu itu. Pergilah sebagai insan yang pernah dia kenal suatu ketika dahulu. Yang telah memberikan ia pengajaran yang hebat dalam hidupnya. Semoga Allah redha terhadapmu.

No comments:

Post a Comment