Sunday 9 November 2014

Aku Harap Kita Boleh Bertemu Lagi di Syurga.


Assalamualaikum..

Kita selalu berbicara soal rasa, hati dan cinta. Namun jarang sekali kita berbicara tentang sesuatu yang jauh daripada semua itu, hinggalah pada suatu hari, kau putarkan persoalan ini di cuping telingaku. Entahkan bagaimana kematian kita nanti? Apakah boleh membawa kita kepada redha Tuhan tau kemurkaannya, bukankah persediaan menghadapi alam sana jauh lebih utama? Kenapa kita tidak teruja dan berdebar-debar mahu bertemu Dia sang pencipta, berbanding dia yang mungkin hadir sekadar mahu bermain rasa?

Mengapa, tidak kita nyatakan apakah kesungguhan kita untuk persembahkan yang terbaik sewaktu pulang kepada-Nya pada suatu saat yang akan menjelma nantinya?

Kau buat aku berfikir, sahabat. Tentang masa lalu dan yang akan mendatang. Apakah cukup dengan kehidupanku sehingga hari ini dan pada detik-detik yang masih tersisa,  berbaloi untuk aku jadikan ini semua sebagai penebus cinta dan kasih sayang Tuhan buat diriku??

Lantas aku bertanya kepadamu, mahukah engkau berjiran denganku kelak di syurga? Lalu engkaupun menjawab.. Mengapa tidak, aku harap kita semua dapat bertemu lagi di syurga. Cumanya, aku tidak pasti apakah tingkat syurga untukku sama denganmu, atau apakah terlalu lama nantinya engkau menantikan hisab amalanku langsai sebelum derapan kakiku diterima masuk ke taman akhirat kelak?

Sungguh sahabat, betapa diri ini mengharapkan pengakhiran yang indah buat kita semua. Segala yang pahit, segala yang menyakitkan di dunia, biarlah bisa jadi tawa canda kita di balairung teratak kita di negeri abadi, sambil kita mengimbau-imbau, betapa murninya hatimu padaku, dan betapa kasihnya aku kepadamu. Moga ukhwah yang kita jalin erat hari ini akan menjadi tali yang menghubungkan persaudaraan kita di sana.

Andai aku yang melangkah dahulu, kirimkanlah doa, biar kita bertemu lagi di syurga sana. InshaAllah..  :)

No comments:

Post a Comment