Monday 27 October 2014

Fokus Kepada Mereka Yang Menghargai


Assalamualaikum..

Sebelum itu, salam Maal Hijrah.. Semoga dilimpahi rahmat dari Tuhan dan dipermudahkan jalan mujahadah ini.

Tahun silih berganti.. Apa yang diharapkan tidak lain hanyalah penghijrahan diri menjadi seorang yang lebih baik dari semasa ke semasa. Tidak dinafikan dalam menempuh haluan hidup yang penuh liku ini bermacam ujian yang menerpa. Dan kebanyakannya memang menguji keteguhan hati dan peribadi. Allah saja tahu betapa sakitnya bila jatuh. Di situ kita tahu siapa yang kekal dan siapa yang hanya tahu berpaling dan meninggalkan.

Tak apalah. Yang berlalu biarkan saja ia pergi. Mari, mulakan satu catatan buku yang baru. Yang lebih indah dan penuh barakah, InshaAllah. Setiap dugaan yang hadir itu ibarat pelengkap ceritera hidup ini, sebagai satu kesaksian nilai-nilai kehambaan, bahawa semakin banyak seseorang hamba itu diuji dalam rentak hidupnya, maka semakin itu dia menjadi dekat dengan Tuhannya. Alhamdulillah. Terima kasih Tuhan atas warna warni hidup yang kau anugerahkan kepada hamba yang hina ini.

Hidup ini pilihan. Maka dalam memilih yang terbaik, nilaikan juga kepada mereka yang memberikan kebaikan kepada kita. Mengapa perlu difikirkan dan berdukacita atas perbuatan negatif orang kepada kita? Sedangkan dalam ramai yang menyakitimu, ternyata lebih ramai lagi yang menyintai dan menghargai dirimu seadanya.  Fokus kepada mereka itu, kerana di situ adanya titik bahagia dalam hidup. Biar tidak seberapa, asalkan kasih sayang itu abadi, dan ikhlas kerana Allah taala. Jangan disia-siakan doa   orang yang setia ingin melihat kita bahagia. InshaAllah, orang yang selalu menjadikan kita dekat denga Tuhan, yang selalu membahagiakan kita, itulah dia yang akan menjadi peneman kita di syurga-Nya kelak.

Maka, bila jatuh, lekas-lekas bangun, bila terluka, cepat-cepat basuh, kerana ada yang menantimu di depan sana untuk kau terus mara ke hadapan dan yang penting, Allah ada dan Dia tidak suka hamba-hamba-Nya senang benar berputus asa dari segala mehnah hidup yang dilalui ini.. Mujahadah itu pahit, tapi buahnya manis bukan? Dan ingatlah, kita hamba memang lemah, tapi tak bermakna kita ini lembik.. Self noted! Bangkit!! :)


No comments:

Post a Comment