Wednesday 21 November 2012

Nukilanku: Anak Kecil Kegirangan.

Anak kecil kegirangan,
Lahirnya disambut tawa dan air mata
Tanda syukur dengan anugerah yang Esa
Dalam keperitan yang bonda deritai
Bertarung nyawa antara hidup dan mati
Juga jerih-perih yang ayahanda rasai
Antara kesabaran dan penantian
Semua itu hilang usai tangisnya memecah hening..

Anak kecil kegirangan,
Dia dimanja, ditatang dan disayang
Di hati bonda dan ayahanda dialah penawar
Keletahnya memancar bahagia
Pada detik itu jualah
Segala ikrar pengorbanan bonda dan ayahanda tunaikan
Rela berpayah andai itu takdirnya
Demi putera puteri tercinta.

Anak kecil kegirangan,
Saban waktu bicaranya kian petah,
Pada saat dia disuruh mewarisi agama
Tika itu juga dia diajar ilmu dunia
Di samping mengenal Allah dan Rasul-Nya
Bonda dan ayahanda mahu dia terus maju
Biar nanti jasanya tidak hanya tertumpah untuk keluarga
Malah untuk agama, watan dan bangsanya.

Anak kecil kegirangan,
Kini dia tumbuh sempurna
Semakin mahir mentafsir helah dunia
Dewasa bersama teman
Yang mewarnai alam remajanya
Dalam menimba lautan ilmu
Dia mula mengejar kematangan yang menerjah usia
Semakin pula berani
Mengatur rentak hidup yang dicipta
Akal budinya terkadang sukar sekali dimengerti
Hingga tersungkur dalam kealpaan sendiri.

Anak kecil kegirangan,
Kini mengertilah ia
Aturan hidup perlukan pegangan
Asuhan bonda dan didikan ayahanda;
Itulah yang terbaik baginya
Biar tidak dia goyah untuk bangkit semula
Andai nanti rebah dalam gejolak fananya dunia
Dengan rahmat kasih Pencipta
Kejayaan kini teguh dirangkul
dan di hati suci ayah bonda
Anak kecil yang kegirangan itu
Selamanya permata untuk keluarga..

2 comments:

  1. bestnye...
    Tikah x try hantar karya kat mana-mana editor buku ke..?
    ada potensi nie...=)

    ReplyDelete
  2. masa sekolah dulu je hantar kat radio ikim..
    sekarang dh jarang perah otak nk cari idea..
    tak berapa nak sasterawati dh.. hehe..

    ReplyDelete