Sunday 17 June 2012

Adab Makan Cara Rasulullah..

Assalamualaikum, semua.. Semoga Allah menyayangi, merahmati dan melindungi..
Seperti yang dijanjikan, perkongsian kali ini adalah berkaitan dengan  buku tentang Rasulullah s.a.w. yang saya dah baca dan nak kongsikan dengan sahabat-sahabat semua. Judul buku “Mengapa Rasulullah Tidak Pernah Sakit” karangan Dr. Adi Hashman terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd.
Taklah tebal sangat, tapi infonya cukup padat dan berinfomatif tentang rahsia kesihatan Rasulullah s.a.w yang sentiasa berpanjangan hingga ke hujung usia baginda.
Kita semua tahu, kesihatan adalah anugerah yang tidak ternilai. Malah bagi umat Islam sendiri, kesihatan itu amanah, yang dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t  untuk dipelihara dengan sebaik mungkin, malah ianya juga akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Sabda Rasulullah S.A.W;
“kenikmatan pertama yang perlu dipertanggungjawabkan oleh hamba Allah pada hari kiamat kelak adalah berupa pertanyaan, “bukankah Kami menyihatkan tubuh kamu dan Kami hilangkan dahaga kamu dengan air yang dingin?
Baginda menyambung,
“tidak seorangpun diizinkan bergerak daripada kedudukannya pada hari kiamat sehingga dia menjawab bagaimana dia menghabiskan hidupnya, bagaimana dia menggunakan pengetahuannya, dari mana dia memperoleh dan ke mana dia membelanjakan hartanya dan bagaimana dia menggunakan kesihatannya.
(Hadis riwayat Tarmizi)

Untuk ceritakan secara keseluruhan, sungguh saya tak termampu. Jadi, saya akan highlight intipati yang menarik minat saya untuk saya kongsikan di sini. Tapi, bukan bermaksud yang lain tak menarik, Cuma.. saya galakkan sahabat-sahabat sekalian untuk dapatkan bahan bacaan ni dari toko-toko buku ilmiah yang berdekatan dengan anda (cewah.. promote.. hmm.. ikhlas ni..). tak mahal pun, RM 19.90 je. Tapi inputnya, sangatlah bermanfaat. In Shaa Allah.
Pengambilan Makanan.
1. Mengambil makanan yang segar dan hidup.
Makanan yang ideal adalah makanan yang tidak banyak diolah daripada bentuk asalnya. Ini bermaksud, makanan tersebut tidak tercemar oleh bahan-bahan kimia dan toksik yang berbahaya. Seperti Rasulullah, makanan yang dimakan banginda selalunya adalah bahan makanan yang neutral, contohnya seperti makanan yang berasaskan gandum yang kasar dan tidak ditumbuk. Ini menjadikan  perut baginda sentiasa berasa terisi walaupun makanan yang diambil bukan dalam kuantiti yang banyak dan pada masa yang sama sangat menyihatkan.
Makan dengan sederhana.
Sabda Nabi,
“orang beriman makan dengan satu usus, sedangkan orang kafir memenuhi tujuh ususnya dengan makanan.”
(riwayat Bukhari.)
Sebenarnya, makan secara berlebihan akan memberi beban kepada pancreas dalam melepaskan hormone insulin, selain menyebabkan keletihan sel-sel langenhans di dalam kelenjar pancreas, mengakibatkan defisiensi pengeluaran insulin yang mambawa kepada penyakit diabetes mellitus atau kencing manis. 

2. Jangan Abaikan Sarapan Pagi.
Sepanjang malam kita tidur dan sehingga bangun keesokannya, perut kita kosong daripada isi makanan selama 6-8 jam. Tempoh sarapan yang ideal adalah sekitar hampir waktu Subuh hingga pertengahan waktu Dhuha. Kalau di tempat kita, kiranya sekitar jam 5-9 pagi. Kerana itulah, Rasulullah juga sangat menitikberatkan sahur ketika berpuasa kerana ianya membekalkan tenaga yang mencukupi dengan kadar keperluan tubuh dan perut kita sepanjang hari. Permulaan hari yang baik adalah dengan pengambilan sarapan yang bernutrisi dan menyihatkan.

3. Minum Air Secukupnya.
Rasulullah ada memberitahu kadar air yang sesuai untuk kita minum setiap hari adalah menyamai kadar makanan yang diambil. Masing-masing 1/3 daripada perut. Daripada kadar yang dianjurkan, dapat disimpulkan bahawa memang kita perlu minum air yang lebih banyak berbanding unsur makanan yang lain. Ilmu perubatan moden pun ada menyarankan kita supaya meminum 2 liter atau bersamaan dengan lapan gelas air sehari, sekurang-kurangnya.

 Adab makan dalam konteks kesihatan berteraskan sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

1. Membaca bismillah, memulakan dan menutup dengan doa. ini telah diajar sejak kita kecil lagi, kan?? jadi ianya bukanlah sesuatu yang susah untuk diamalkan.

2. Duduk tegak.. Rasulullah sentiasa makan dengan posisi duduk tegak tanpa bersandar. Duduk tegak dengan tidak membongkok ini tidak menyebabkan perut kita berlipat dan diafgrama lebih terdorong ke bawah. Rongga dada membantu pernafasan menjadi lebih lapang.

3. Kebersihan.. Menjaga kebersihan tangan juga ditekankan oleh Rasulullah di luar wuduk, terutamanya ketika tangan digunakan apabila ingin mencicip makanan. Sabda baginda;
“apabila kalian bangun dari tidur, janganlah masukkan tangan ke tempat makanan sehingga kamu membasuh tangan itu tiga kali. Kamu tidak tahu di mana kedua tangan kamu itu berada (bermalam).
(direkodkan oleh at-Tarmizi, an-Nasai, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad)
4. Penggunaan tangan kanan bagi manfaat otak kiri. Apa yang Rasulullah ajar pada kita, sentuh makanan menggunakan tangan kanan. Tangan kanan sebenarnya menjadi anggota tubuh yang dominan dalam adab-adab agama Islam. Selain memasuki tandas dan beristinjak, Rasulullah sentiasa menganjurkan penggunaan tangan kanan. Saranan baginda ini ada relevannya dari segi saintifik. Otak kiri adalah sumber aliran saraf motor anggota-anggota badan sebelah kanan, termasuklah tangan kanan. Otak sebelah kiri dikenalpasti sebagai bahagian otak yang menggunakan kemampuan analitis dan rasional.
Otak sebelah kanan pula digunakan bagi merasa ekspresi, naluri dan kreativiti. Makan dengan tangan kanan dapat diertikan sebagai makan dengan penuh pertimbangan dan rasional serta tidak berlebih-lebihan. Ini melibatkan analisis kritikal kepada manfaat makanan yang dimakan.
5. Thuma’ninah.. Antara adab makan Rasulullah adalah makan dengan tenang. Cara makan begitu menghindarkan kita daripada tersalah gigit lidah sendiri. Yang paling penting, dapat mengelakkan kita tercekik makanan jika sering mengamalkan makan dengan gelojoh. Mengunyah makanan dengan  lama menjadikan makanan itu lunak (lembut) dan senang dihadam.
Banyak lagi info tentang cara Rasulullah menjaga kesihatan. Bukan termaktub dalam aspek pemakanan saja, tapi merangkumi ibadah, emosi, dan mentaliti.. untuk itu.. bacalah dengan sepenuhnya melalui buku itu sendiri.. bangsa membaca, bangsa berjaya.. hehe..

Sampai di sini saja dulu ye.. semoga ilmu yang dikongsi bermanfaat buat kita semua..
Ma'assalam.. =)

Best Quotes of the Day:

"Kesihatan ibarat mahkota di atas kepala yang hanya boleh dilihat oleh orang yang sakit.."

No comments:

Post a Comment