Menjaga diri sendiri
juga tidak lepas,
Masa kan mahu
memimpin segerombolan??
Namun apabila aku yang dipilih,
Aku tahu ada hikmah,
Allah sudah izin..
Sudah lama juga
belakang parang ini berdaki karatnya,
Tumpul!
Buat mengetuk
nyiur saja tak mungkin pecah,
Tetapi kugagahi,
Siang malam kuasah,
Siapa tahu untung
nasib boleh juga jadi senjata
Membela diri
Walau yang datang
menujah itu
Semuanya anak-anak
panah bermuncung api..
Dari dulu aku tidak
pernah mahu semua ini..
Tetapi siapa aku
mahu berdalih?
Sudah ketetapan,
rezeki ku
Untuk merasa
bagaimana peritnya mengatur jemaah,
Apalagi jika safnya
sering saja terpisah-pisah,
Aku terima, sungguh
ikhlas aku terima..
Walau di depanku
ratusan, malah ribuan lagi yang lebih berhak..
Aku sudikan juga
menadah telapak tangan kedua-duanya
Kerana kutahu ada DIA yang menjaga..
Cuma sesekali datang
guruh berdentum,
Petanda ribut,
mungkin tengkujuh,
Di dalam dadaku
resah terpasung,
Berombak-ombak
membadai jiwa dan roh..
Bagaikan sendirian
di tengah hutan rimba,
Di atasku taring
singa menganga,
Di bawahku semut api
berbisa..
Dan aku??
Hanya siput kecil
rapuh cengkerang,
Lambat-lambat
merangkak,
Perlahan-lahan
mengengsot,
Berjuang untuk maju
barang selangkah cuma..
Silap masa, mungkin
sampai lumat kalau dipijak..
Hanya kuharap selagi
masa itu tersisa,
Kental teguh
kuberdiri,
Kerana aku yakin,
mahu sampai ke situ,
Ada duri liku
menunggu,
Kalau aku tidak
berani melawan arus,
Takkan aku bergerak
ke mana-mana,
Kekal dalam denai
yang sama..
Tuhan.. Kuatkanlah
hamba..
No comments:
Post a Comment