Assalamualaikum..
Aku bukanlah pakar agama, bukan juga ahlinya, tetapi aku mahu berbicara soal ini dari hati ke hati.. dari hematku atas nama seorang hamba, seorang yang masih bergelut dalam mencari siapa aku, di tengah-tengah dunia yang entahkan bila akan habis waktunya.
Seperti mana aku, mungkin kalian juga sedang berdepan dengan situasi yang sama. Di depan jalan-jalan hidupmu sarat pilihan, seiring dengan kedewasaanmu engkau akan semakin terbuka akal fikiran, memilih jalan hidup yang kau mahu di hujungnya akan bisa membahagiakan. Ketahuilah setiap pilihan yang kau ambil itu akan ada natijahnya, akan terselit dugaan dan pancarobanya, juga terlalu banyak hikmah yang akan kau pelajari, terpulang daripada dimensi seperti apa yang kau mahu cernakan ia dalam benak jiwamu sendiri.
Di saat engkau memilih untuk berubah, daripada seorang yang kosong hala tuju, kau mahu matlamat yang jelas akan haluan hidup dan matimu, maka di saat itu juga satu per satu hakikat dunia akan tersingkap di depan mata, lalu menerjah nurani dan minda. pada saat itu kau akan mengenali siapa dirimu, siapa sahabat dan musuhmu, kau akan tahu jelas siapa yang selama ini mendukung dan siapa yang selama ini hanya menabur janji palsu, untuk terus kekal bersamamu mengharungi onak liku.
Mungkin saja kau akan hilang teman akrabmu, kau malah akan dipersoalkan atas setiap pilihan dan perubahanmu. yang mana memahami akan menghormati dan setia di sisi, menerima engkau seadanya dari segala segi, dan itu boleh dikira dengan jemari, terlalu sedikit. Bagi yang tidak mengerti akan terus menghukum keji dirimu tanpa henti.
Ada yang berkata perubahanmu menuju Tuhanmu hanyalah satu propaganda untuk kau menutup cela dirimu. Malah ada juga yang menuduh engkau hipokrit dan berpura-pura baik dengan menggunakan agama dan pakaian Ismalikmu untuk memburu perhatian dan puji-pujian manusia.
Ada juga yang berkata engkau bukan pelajar agama untuk berimej seperti itu. Engkau tidak fasih al-Quran dan bahasanya untuk berpakaian seperti itu. Malah masa silammu yang dulu tak sudah-sudah dibuka dan diungkit-ungkit, sebagai hujah kau tidak layak memiliki peribadi seperti apa yang kau pamerkan hari ini. Mereka juga tidak akan melihat perubahanmu itu adalah atas proses pembelajaranmu yang masih bertatih meraih cinta Ilahi, bahkan mereka melihat bahawa bagaimana rupa engkau hari ini adalah satu riak yang konon sempurna, lantas meletakkan prejudis, "luarannya saja Islamik, dalam hati masih jahil dan penuh kepalsuan."
Bagaimana perasaanmu, jika saban waktu kau dihidangkan dengan tohmah nista seperti ini, bukan sahaja dalam kalangan teman taulanmu, malah juga dalam kalangan anggota keluargamu? Pastinya di hatimu itu terasa seperti dilapah mentah-mentah, luka berdarah tak terkata. Terasa hidupmu kosong penuh derita. Kau merasa sendirian di setiap ceruk kakimu melangkah, dalam riuh rendah hanya sunyi sepi jadi teman bicara. Kau terkapai-kapai dalam banjir air mata, tiada yang mendengar, tiada yang mahu bertanya apakah kau baik-baik saja? kau tak apa-apakah? Dalam rapuh hatimu kau mahu ada yang mendengar keluh kesah, menemani kala hilang arah, kau mahu mengadu tetapi tiada yang endah. Terasa seperti tersungkur tetapi tiada tangan sudi menghulur, membantu kau bangkit semula. Terasa juga seperti sendirian kau ditinggalkan di tanah gersang, tak berpenghuni, gelap gelitanya dunia.
BEGITULAH AKU!
BEGITULAH HAKIKAT YANG MENIMPA DIRIKU..
Berat rasanya beban ujian yang kuterima. Kadang kubertanya sendiri, kenapa begini? Di manakah lagi silapnya? semakin aku berusaha mahu kembali dan mencari jalan pulang, semakin aku terasa jauhnya kasih sayang Tuhan terhadapku. dan pernah juga sekali sekala terlintas dalam hatiku, mungkin aku tidak sesuai menjadi baik, mungkin aku tidak layak. Mungkinkah aku hanya layak diam di takuk lama, menjadi diriku yang kabur sesat mencari arah?
Lama aku bungkam.
Lama aku diam.
Aku kaji diriku,
di mana silapnya,
di mana bengkoknya,
apa lagi yang tidak kena??
Lantas bicara sepiku menampar kalbu.
Sedarlah!!
Tuhanmu sedang mengajakmu berbicara.
Dia sedang menjawab setiap yang kau tanya.
Dia sedang memberi apa yang kau minta.
Kau minta bahagia,
Kau minta ditunjukkan jalan menuju Dia.
Sungguh apakah wujud jalan singkat ke syurga?
Siapa engkau mahu meraih kesenangan dan kemuliaan percuma?
Duhai jiwa yang mengimpikan solehah..
Sungguh di dunia ini penjara
bagi mereka yang dahagakan cinta yang Maha Esa
sungguh iktikad imanmu tiada makna
andai kau menolak untuk diuji barang seketika.
Toleh sebentar kepada intisari silam
Apakah ada kau temukan
Orang yang mahu mati gembira
hidupnya senang lenang??
Apakah ada kau temukan
Orang yang mahu mati gembira
Tiada ujian yang bertandang?
Ada.. semuanya ada..
Tiada yang mudah dalam mengejar akhirat.
Ada harga yang mesti kau bayar.
Mungkin saja sesuatu yang kau cinta selama ini terpaksa kau tinggalkan
atau ia pergi sejauh-jauhnya meninggalkan..
tetapi andai yang kau cinta itu tidak Allah redha
lalu kau tinggalkan semata-mata kerana Dia,
pasti akan ada ganti yang Allah sisipkan untukmu
yang jauh lebih baik,
dan yang jauh lebih indah.
Justeru andai kau melihat ujian bukan sebagai musibah
bukan bantaian takdir yang menerpa,
bukan juga sebagai kifarah dosa semata,
bahkan tiada lain adalah kerana kasih-sayang-Nya
percayalah segala rasa sakit itu akan hilang
sepertimana hilangnya kabus ketika matahari memancar sinarnya
seperti dingin air yang menghapus dahaga
seperti hujan yang menghalau pergi debu semesta..
Sabarlah, teguhlah..
yang kau lakukan ini sudah betul..
telah kau bulatkan tekadmu memilih Dia,
maka yang pahit hanyalah seketika
kerana begitulah sifat dunia dan segala isinya.
dan yang sebenar-benarnya manis
letaknya di syurga..
Hilangkan dukacita.
Allah ada bersama kita..
No comments:
Post a Comment